[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
SUKAN

Mbappe pecah rekod Messi dalam UCL

Astro Arena 10/12/2020 | 01:41 MYT
Mbappe (kiri) mengawal bola ketika bermain berhampiran pemain Basaksehir, Mehmet Topal, dalam perlawanan UCL Kumpulan H antara PSG dan Istanbul Basaksehir di Parc des Princes, Paris, 8 Dis, 2020. (Foto AP)
KYLIAN Mbappe memecahkan rekod Liga Juara-Juara Eropah (UCL) milik Lionel Messi ketika menjaringkan gol ketiga Paris Saint-Germain (PSG) dalam menewaskan Istanbul Basaksehir 5-1 di Parc des Princes awal pagi tadi.
Neymar menjaringkan dua gol awal selepas perlawanan itu ditangguhkan pada minit ke-14 semalam susulan pegawai keempat perlawanan itu mendakwa dihamburkan kata-kata perkauman daripada penolong jurulatih Basaksehir, Pierre Webo.
Mbappe kemudian menjadikan kedudukan 3-0 daripada sepakan penalti selepas Nyemar dijatuhkan, sekali gus menamatkan penantian golnya dalam UCL sejak 11 Disember tahun lalu.
Jaringan itu turut menyaksikannya menjadi pemain termuda mencecah 20 jaringan dalam UCL selepas melakukannya pada usia 21 tahun 355 hari, mengatasi rekod 22 tahun 266 hari milik Lionel Messi.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pada itu, Neymar -- yang melengkapkan hatriknya dalam babak kedua -- merekodkan jaringannya yang ke-40 dalam UCL ketika menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu.
Dia melakukannya dalam 65 perlawanan dan hanya ketinggalan di belakang Ruud van Nistelrooy (45 perlawanan), Messi dan Robert Lewandowski (kedua-duanya 61 perlawanan).
Mbappe menggandakan jaringannya selepas pasukan pelawat itu merapatkan jurang dan PSG -- yang sudah sah layak ke pusingan-16 selepas Manchester United tewas kepada RB Leipzig semalam -- menuju ke pusingan kalah mati itu selaku pendahulu Kumpulan H.
#Kylian Mbappe #Lionel Messi #pecah rekod #UCL #PSG #Istanbul Basaksehir #sepakan penalti #pemain termuda #20 jaringan #gol kedua peribadi