SUKAN

Mbeumo pembelian terbaik United

Sinar Harian 12/11/2025 | 00:50 MYT
Aksi Mbeumo meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama pasukan ketika perlawanan EPL antara Tottenham Hotspur dan Manchester United di Stadium Tottenham Hotspur, London, Britain, 8 Nov 2025. REUTERS
MUSIM panas lalu, Manchester United memperkuat barisan serang dengan membawa masuk dua penyerang baharu.


Ringkasan AI
  • Manchester United memperkuat barisan serang dengan memperoleh Benjamin Sesko dari RB Leipzig dan Bryan Mbeumo dari Brentford pada musim panas lalu.
  • Bryan Mbeumo muncul sebagai pemain paling berpengaruh di barisan hadapan United berbanding Sesko, yang mengalami kesukaran menyesuaikan diri dalam Liga Perdana Ingeris.
  • Mbeumo telah menjaringkan enam gol dalam 12 perlawanan, menyumbang secara signifikan kepada United, sementara Sesko hanya berjaya menjaringkan dua gol dan sering kelihatan ragu-ragu di depan gol.


Benjamin Sesko direkrut dari RB Leipzig dengan nilai perpindahan 74 juta pound (lebih kurang RM460 juta), manakala Bryan Mbeumo dibawa dari Brentford dengan kos lebih rendah.

Namun, selepas beberapa bulan, Mbeumo muncul sebagai pemain paling berpengaruh di barisan hadapan United, manakala Sesko masih berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dan gagal memberikan impak seperti yang dijangka penyokong.

Adaptasi Sesko dalam Liga Perdana Ingeris (EPL) berjalan perlahan, dia kerap kelihatan ragu-ragu di depan gol, melepaskan peluang penting dan sukar menyesuaikan diri dengan tempo serta intensiti liga.

Aksi menentang Tottenham Hotspur baru-baru ini menonjolkan kelemahannya apabila hanya mencatat tiga sentuhan di dalam kotak penalti sepanjang 30 minit, tanpa satu pun percubaan tepat ke sasaran.

Sebaliknya, Mbeumo pantas menyesuaikan diri di Old Trafford.

Dalam 12 perlawanan, pemain dari Cameroon itu telah menjaringkan enam gol dan menyumbang secara signifikan dalam serangan United, jauh mengatasi Sesko yang hanya menjaringkan dua gol.

Bekas pemain United, Owen Hargreaves memuji Mbeumo dan menggambarkannya sebagai “Mohamed Salah Manchester United” pada masa ini.

“Saya rasa kelebihan terbesarnya ialah kualiti luar biasa yang dibawanya ke Manchester United.

“Apabila dia berada di dalam kotak penalti, dia mengingatkan saya kepada Salah.

“Dia tahu apa yang ingin dilakukan dan tidak menunjukkan sebarang emosi di depan gol. Dia hanya menunaikan tugasnya,” kata Hargreaves - Sinar Harian






#Manchester United #Bryan Mbeumo #EPL #Owen Hargreaves