SUKAN

McGregor terima penggantungan 18 bulan akibat gagal jalani ujian doping

Agensi 07/10/2025 | 22:40 MYT
Conor McGregor, dikenakan penggantungan selama 18 bulan selepas melanggar dasar anti-doping, menurut pengumuman rasmi UFC pada Selasa. - Gambar fail Reuters
BEKAS juara Featherweight dan Lightweight UFC, Conor McGregor, dikenakan penggantungan selama 18 bulan selepas melanggar dasar anti-doping, menurut pengumuman rasmi UFC pada Selasa.

Dalam kenyataan di laman rasminya, UFC memaklumkan, McGregor terlepas tiga percubaan oleh agensi Combat Sports Anti-Doping (CSAD) untuk mengumpul sampel biologi daripadanya pada 13 Jun, 19 September dan 20 September 2024, yang diklasifikasikan sebagai "kegagalan kehadiran" (whereabouts failures).

"McGregor memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan CSAD, mengakui tanggungjawabnya, dan memberikan maklumat terperinci yang membantu menjelaskan sebab beliau terlepas ujian berkenaan," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan tahap kerjasama dan keadaan yang dikemukakan, CSAD bersetuju mengurangkan tempoh penggantungan standard 24 bulan kepada 18 bulan.

Tempoh penggantungan McGregor bermula pada 20 September 2024 - tarikh beliau gagal menghadiri ujian kali ketiga - dan akan berakhir pada 20 Mac 2026.

McGregor kali terakhir bertarung dalam UFC pada Julai 2021, apabila mengalami patah kaki ketika menentang Dustin Poirier.

Beliau sebelum ini menyatakan hasrat untuk kembali bertarung pada acara yang dicadangkan berlangsung di White House, Washington, Amerika Syarikat pada Jun tahun hadapan. - Agensi



#Conor McGregor #McGregor digantung 18 bulan #UFC #gagal ujian doping