SUKAN

MCKK Premier 7s Edisi Ke-13: Sekolah ragbi berentap di Kuala Kangsar

Astro Awani 26/06/2025 | 10:05 MYT
Terdapat 24 pasukan terdiri daripada 20 buah sekolah dari seluruh Malaysia dan 4 pasukan antarabangsa. - Foto MCKK Premiere 7s
KUALA LUMPUR: Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) akan menganjurkan kejohanan ragbi MCKK Premier 7s edisi ke-13 untuk merebut piala NJ Ryan yang bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Julai 2025 di Kuala Kangsar, Perak.
MCKK Premier 7s selaku penganjur berkata, terdapat 24 pasukan terdiri daripada 20 buah sekolah dari seluruh Malaysia dan empat pasukan antarabangsa dari Fiji, Jepun, Thailand dan Indonesia akan menyertai kejohanan itu.
“Empat penyertaan antarabangsa tahun ini ialah Serevi Rugby Academy (Fiji), Shizuoka Seiko Academy (Jepun), SMA Darunnajah (Indonesia) dan Vajiravudh College (Thailand).
“Di peringkat tempatan pula, terdiri daripada MCKK selaku tuan rumah, Maktab Tentera Diraja (MTD), Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Maktab Sultan Abu Bakar (EC), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dan SMK Victoria (VI),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) selaku juara bertahan edisi ke-12 bakal menjadi pencabar utama bagi kejohanan kali ini.
“Semua mata akan tertumpu kepada pasukan ragbi gergasi dari Johor ini yang dijangka memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Antara matlamat utama kejohanan ini ialah untuk menghidupkan semula budaya ragbi di sekolah- sekolah dan menyumbang ke arah pembentukan masa depan sukan ragbi negara.
“Penyertaan sekolah-sekolah elit dari setiap negeri menjadikan MCKK Premier 7s sebagai penanda aras pembangunan bakat muda dan kesukanan berdaya saing,” katanya.
Malah, penganjur turut mengalu-alukan penyertaan Kementerian Belia dan Sukan serta Rakan Muda.
“Sokongan berterusan daripada pihak KBS amat penting dalam memperluaskan capaian kejohanan dan meningkatkan impaknya,” katanya.
Untuk rekod, Piala NJ Ryan, sebuah piala dengan reka bentuk unik dan dinamakan bersempena bukan warga tempatan terakhir (MCKK) yang memperkenalkan sukan ragbi di institusi pengajian berprestij berkenaan.
#MCKK #Premier 7s #SSTMI #Piala NJ Ryan