Mei Kuan bersara daripada badminton

Bernama
Ogos 16, 2021 20:15 MYT
Mei Kuan (kiri) yang menjadi gandingan Lee Meng Yean mengharungi perjalanan sukar dalam penyertaan sulung mereka di Olimpik Tokyo, baru-baru ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemain beregu badminton wanita negara, Chow Mei Kuan mengambil keputusan untuk bersara daripada sukan itu.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan berkata mereka telah cuba memujuk pemain berusia 26 tahun untuk kekal beraksi tetapi tidak berjaya.
Bagaimanapun, BAM telah menerima peletakan jawatan itu yang berkuat kuasa pada 15 Sept.
"Setiap orang di BAM menzahirkan penghargaan kepada Mei Kuan terhadap sumbangan besarnya kepada pasukan kebangsaan dan mendoakan yang terbaik dalam usahanya di masa hadapannya," katanya dalam satu hantaran di Instagram semalam.
Mei Kuan yang menjadi gandingan Lee Meng Yean mengharungi perjalanan sukar dalam penyertaan sulung mereka di Olimpik Tokyo, baru-baru ini.
TONTON: Olimpik Tokyo: Beregu wanita negara tidak sertai acara pembukaan
Beregu itu tersingkir dalam peringkat kumpulan dan mencatatkan satu kemenangan daripada tiga perlawanan Kumpulan A.
Kemenangan tunggal mereka hadir pada perlawanan akhir selepas menewaskan beregu Great Britain Chloe Birch-Lauren Smith of Great Britain, 21-19, 21-16 dalam perlawanan di Musashino Forest Sport Plaza.
Selain Meng Yean, Mei Kuan telah berpasangan dengan beberapa pemain sebelum ini seperti, Vivian Hoo, Lai Pei Jing, dan Shevon Jemie Lai.
Kejayaan terbesar anak kelahiran Kuala Lumpur itu dalam kerjayanya apabila meraih pingat emas dalam acara beregu wanita semasa berpasangan dengan Vivian di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.
Mei Kuan-Vivian menewaskan Lauren Smith-Sarah Walker dari England 21-12, 21-12 pada final.
Mei Kuan yang mula bermain badminton seawal tujuh tahun telah merekodkan 211 kemenangan dalam kerjayanya sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2012.
-- BERNAMA
#badminton #bersara #BAM #pemain beregu wanita #Chow Mei Kuan #letak jawatan #Sukan Olimpik Tokyo #Olimpik Tokyo #Lee Meng Yean #Tersingkir