Meledak: Bagaimana seorang pemegang pasport British menyarung jersi Harimau Malaya

Robin Evenden@Rahim bin Mohd, seorang pemain bola sepak popular Pulau Pinang, mewakili Malaysia selepas menerima kerakyatan pada 1989. - Stadium Astro
SEBELUM meledaknya isu tujuh pemain warisan yang dikenakan hukuman gantung oleh badan induk dunia FIFA atas kesalahan memalsukan dokumen, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menangani isu kerakyatan pemain kelahiran bukan Malaysia sejak 1980-an, lama sebelum perkataan naturalisasi diterima masyarakat umum.
Ringkasan AI
- FAM mengendalikan isu kerakyatan pemain bukan warganegara sejak 1980-an sebelum isu naturalisasi popular, dengan pemain pertama yang melintasi Tambak Johor ke Malaysia ialah Razali Alias dari Singapura.
- Robin Evenden@Rahim bin Mohd, seorang pemain bola sepak popular Pulau Pinang, mewakili Malaysia selepas menerima kerakyatan pada 1989 setelah bantuan Naib Presiden FAM ketika itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
- Rahim, yang berjaya dalam karier bola sepaknya, turut berlatih di luar negara dan mewakili Malaysia dalam Pestabola Merdeka 1988, sebelum bersara pada 1991 untuk menumpukan kepada kerjaya perniagaannya.
Malangnya, FIFA memutuskan beliau tidak layak menyarung jersi Harimau Malaya dalam perlawanan rasmi disebabkan pernah mewakili Singapura. Kiriman kawat ringkas FIFA kepada FAM bertarikh 2 Mac 1985 meleburkan harapan Razali untuk menyarung jersi keramat negara secara rasmi, sebaliknya hanya merakam dua penampilan perlawanan persahabatan ketika mengikuti jelajah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau meninggal dunia pada 2012 pada usia 51 tahun.
Pernah dengar Robin Evenden@Rahim bin Mohd?
Tinggi, berwajah Pan Asian bermisai lebat ibarat Tom Selleck yang membawa watak Magnum dalam siri televisyen popular Magnum P.I pada 1980-an, Rahim antara tonggak Pulau Pinang yang mewarnai saingan liga tempatan waktu itu.
Dalam kalangan peminat bola sepak dan media, Namanya lebih dikenali sebagai Rahim Robin, seorang bek kiri atau tengah yang kental.
Dilahirkan di Hospital Kandang Kerbau, Singapura pada 13 September 1961, Rahim dihulur kesempatan mewakili Malaysia sekali pun berstatus pemegang kad pengenalan merah dan pemegang pasport British.

Stadium Astro
Bapanya Ivan Michael Peter Evensen, seorang warga England yang juga pengurus estet di Sedenak, Johor, bertemu jodoh dengan anak jati Pulau Pinang, Sepiah Abdullah, dan dikurniakan putera lelaki yang dinamakan Robin.
Apabila ikatan perkahwinan Evensen dan Sepiah terlerai di tengah jalan, mereka membawa haluan masing-masing. Evensen berkelana ke Perancis manakala Sepiah membawa diri ke Manchester.
Anak tunggal mereka, Robin@Rahim pula ditinggalkan bersama pasangan Mohd Din dan Aminah Md Nor di Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang, kampung asal Sepiah. Menjelang usia ke-12 Rahim, Mohd Din menandatangani akuan berkanun di George Town yang menyatakan kad pengenalan remaja itu harus tercatat nama Robin Evenden@Rahim bin Mohd.
Kisah asal usul Rahim tercetus apabila akhbar The Malay Mail mendedahkan bahawa Rahim bukan warganegara Malaysia di bawah tajuk RAHIM SHOCKER diriingi tajuk kecil “I am not a Malaysian” tulisan Tony Mariadass.

Stadium Astro
“Ketika itu saya beraksi untuk skuad negara dalam Pestabola Merdeka pada Disember 1988. Saya berharap apabila terpilih, ia akan mempercepatkan proses permohonan kerakyatan saya,” katanya yang memohon status kewarganegaraan sejak 1980.
Dengan bantuan Naib Presiden FAM ketika itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kini Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), Rahim akhirnya menerima kerakyatannya pada 1989.
Mengimbas pengalamannya diinterviu oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Petaling Jaya, Rahim berkata:
“Saya dikehendaki menjalani ujian bertulis dan lisan. Saya diminta menulis karangan bertajuk Perayaan di Malaysia dengan 300 patah perkataan dan kemudian ditemu bual dalam Bahasa Malaysia.
“Saya menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah yang membantu dan menyokong permohonan saya, dibantu urusan dokumentasi daripada urus setia FAM yang diketuai oleh mendiang Datuk Seri Paul Mony Samuel.”

Stadium Astro
Namun, dalam dokumen pengenalannya, nama asal bapanya Evensen dieja Evenden. “Mungkin ada dokumen yang wujud percanggahan ejaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada usia remaja, Rahim pernah berkunjung ke Manchester untuk melawat ibunya, namun terputus hubungan dengan bapa kandungnya.
“Saya bersyukur dijadikan anak angkat oleh Mohd bin Din dan Aminah yang membesarkan saya dalam keadaan beragama serta memberi saya pelajaran.”
Terpilih kali pertama mewakili skuad Pulau Pinang untuk Piala Razak pada 1980 atas nama Rahim Mohammad, beliau tersenarai bersama Datuk Richard Scully, Kee Teong Peng, Johari Maina dan Ahmad Yusof.

Stadium Astro
Turut berkebolehan bermain sebagai penyerang, Rahim melakar nama sebagai anggota teras Pulau Pinang seangkatan dengan kapten Kamal Khalid, Nasir Adnan, A Rukumaran dan Hassamuddin Hassan selain pernah beraksi dengan Datuk Shukor Salleh dan Allahyarham Datuk Namat Abdullah.
Selain mewakili negara dalam Pestabola Merdeka dan Piala Presiden Korea Selatan, Rahim terpilih menjalani latihan di Yugoslavia ketika Harimau Malaya diterajui oleh Richard Bate dan dibantu oleh Datuk Ahmad Shafie. Setiap kali mengikuti latihan di luar negara, Rahim menggunakan Sijil Akuan Perjalanan disebabkan beliau pemegang pasport British.
“Saya menyerahkan pasport British saya kepada Jabatan Imigresen selepas sah menerima sijil kerakyatan Malaysia,” katanya.
Pestabola Merdeka 1988 itu adalah satu-satunya pengalaman Rahim beraksi dalam kejohanan jemputan berprestij itu, ditandai dengan tindakannya mengawal Oleg Salenko, penyerang skuad Bawah 19 tahun Soviet Union yang kesudahannya muncul satu-satunya penjaring terbanyak Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun (Arab Saudi 1989) dan Piala Dunia FIFA (Amerika Syarikat 1994).
Bertemu jodoh dengan Alina Abdul Rahman pada Julai 1989, pasangan itu dikurniakan dengan empat anak, tiga putera – Mohd Aniq Amzar, Mohd Afiq Akmal, Nur Qamaryna dan Mohd Aqil Mukhlis serta empat cucu.
Selepas bersara daripada bola sepak pada penghujung 1991, Rahim menumpukan perhatian terhadap tugasnya bersama Northern Telecom sehingga 2000, sebelum menceburi bidang perniagaan membekalkan peralatan dan alat ganti kapal.
BIODATA
Nama: Robin Evedsen@Rahim bin Mohd
Nama popular: Rahim Robin
Lahir: 13 September, 1961 (Singapura)
Kerjaya: Pengurus Pengeluaran, Northern Telecom, Pulau Pinang hingga 2000
Kerjaya bola sepak: Mewakili Pulau Pinang dari 1980-1991
Mewakili Malaysia: Pestabola Merdeka 1988
Pencapaian: Juara Piala Emas Raja-Raja 1988, separuh akhir Piala Malaysia 1982, 1983 dan 1984
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


