SUKAN
Memang ada jurang antara Selangor dan JDT - Kinoshi

Kinoshi mengakui, masih terdapat jurang antara pasukan bimbingannya dan Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan kekalahan 0-3 pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, malam tadi. - Gambar Bernama
ISKANDAR PUTERI: Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui, masih terdapat jurang antara pasukan bimbingannya dan Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan kekalahan 0-3 pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Jurulatih dari Jepun itu berkata, JDT yang mempunyai kelebihan dalam aspek kecerdasan menjadi faktor pemisah utama antara kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, Kinoshi berkata, ia bukan alasan untuk mereka berputus asa dalam usaha mereka untuk menandingi skuad Harimau Selatan yang juga juara Liga Super 11 musim berturut-turut.
"Memang ada jurang tetapi kita tidak boleh mengalah. Kita perlu berusaha untuk menyaingi JDT."Mereka sangat hebat...tahu bila perlu menggelecek, kaki mana untuk kawal bola malah bahagian badan mana sesuai digunakan untuk lakukan sentuhan. Perkara-perkara kecil seperti ini apabila digabungkan memberi perbezaan besar," katanya pada sidang media selepas perlawanan, di sini, malam tadi.
Pada masa sama, Kinoshi berkata, pemainnya memerlukan sesi latihan yang lebih mantap dengan penekanan kepada kepantasan membuat keputusan serta penguasaan bola.
"Kita perlukan keadaan latihan yang lebih mencabar, keputusan yang lebih pantas dan lebih banyak sentuh bola. Itulah cara untuk menyaingi dan menghampiri JDT," katanya.
Pada pertembungan malam tadi, tiga gol JDT dijaringkan penyerang baharu, Jairo Da Silva pada minit pertama, pertahanan Eddy Israfilov (minit ke-64) dan pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-73.
Kemenangan itu membolehkan JDT menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah kali ke-10 sejak kali pertama memenanginya pada 2015.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami