KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya mungkin kelihatan kurang bersedia berbanding Oman menjelang perlawanan penting Kumpulan D pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat, Khamis malam ini (Jumaat, 2 pagi waktu Malaysia).

Tahap kecergasan pemain susulan kurang bermain dalam perlawanan kompetitif sejak Januari, memandangkan Liga Malaysia hanya bermula Mei ini, menjadi faktor yang mungkin menjadi penghalang buat pasukan kebangsaan.

Satu-satunya perlawanan mereka ialah perlawanan ujian menentang Nepal yang menyaksikan Malaysia menang 5-1 di Shah Alam, Jumaat lepas.

Meskipun berdepan cabaran itu, pemain pertahanan Daniel Ting berkata semangat kuat pemain boleh menjadi kunci penentu dalam perlawanan menentang Oman itu, mengambil inspirasi daripada persembahan mereka ketika seri 3-3 dengan Korea Selatan pada perlawanan kumpulan Piala Asia 2023, Januari lepas.

"Korea Selatan ialah satu daripada pasukan ranking teratas yang pernah kami hadapi setakat ini, ia satu pengalaman yang sangat baik, bermain dengan pemain terbaik.

"Mengujakan dapat bermain menentang pemain-pemain di tahap itu walaupun kami sudah tidak layak namun ia peluang yang baik bagi skuad kami untuk bermain menentang sebuah pasukan seperti itu dalam persediaan bagi Kelayakan Piala Dunia atau pasukan pada ranking lebih tinggi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Keputusan seri 3-3 menentang Korea Selatan boleh dianggap sebagai keputusan bersejarah buat skuad Harimau Malaya dalam era moden bola sepak susulan jurang ranking yang besar iaitu Malaysia ketika itu di tempat ke-130 manakala pasukan lawan ke-23 dunia.

Malaysia yang kini menduduki ranking ke-132 dunia, dijadual bertemu Oman (nombor 80 dunia) di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat sebelum sekali lagi bertemu pasukan Jaroslav Silhavy itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Mac ini.

Selepas dua perlawanan menentang Oman, skuad Kim Pan Gon bakal berdepan Kyrgyzstan di Bishkek 6 Jun ini dan menamatkan kempen Kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Malaysia kini menerajui Kumpulan D dengan enam mata, diikuti Oman di tempat kedua yang berkongsi tiga mata dengan Kyrgyzstan di tempat ketiga, manakala Taiwan berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat mereka di Piala Asia 2027, manakala dua pasukan terbawah akan bermain dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.

-- BERNAMA