SUKAN
Menteri Besar N.Sembilan dilantik Pengerusi NSFC

Aminuddin berkata pelantikan berkenaan adalah satu amanah besar memandangkan NSFC merupakan sebuah institusi bola sepak yang bukan sahaja membina legasi dalam arena sukan tanah air, malah menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini. - BERNAMA
SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dilantik sebagai Pengerusi Negeri Sembilan Football Club (NSFC) yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Tunku Syed Razman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata pelantikan itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh struktur tadbir urus pasukan, khususnya menerusi pengasingan peranan antara PBNS sebagai badan induk bola sepak negeri dan NSFC selaku entiti yang menguruskan pasukan profesional.
"Dengan pelantikan ini, PBNS dapat memberi tumpuan dalam memperkasakan pembangunan akar umbi dan struktur bola sepak negeri termasuk pembangunan belia, kejohanan tempatan dan kejurulatihan manakala NSFC akan terus digerakkan sebagai kelab profesional berdaya saing di peringkat kebangsaan dan serantau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tunku Syed Razman berkata kepimpinan Aminuddin juga diyakini dapat memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan negeri, PBNS dan pihak berkepentingan dalam usaha menjadikan NSFC sebagai kelab berprestasi tinggi, mampan dan dihormati.Sementara itu, Aminuddin berkata pelantikan berkenaan adalah satu amanah besar memandangkan NSFC merupakan sebuah institusi bola sepak yang bukan sahaja membina legasi dalam arena sukan tanah air, malah menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini.
"Saya berbesar hati menerima pelantikan sebagai Pengerusi NSFC. Bola sepak bukan sekadar sukan, ia adalah wahana perpaduan, identiti negeri dan platform pembangunan belia yang mampu menyatukan seluruh lapisan masyarakat," katanya.
Aminuddin juga optimis NSFC mampu bangkit sebagai pasukan kompetitif di peringkat kebangsaan dan menyeru seluruh penyokong, penaja serta rakan strategik untuk bersama membina semula kekuatan pasukan dengan semangat sepasukan dan iltizam yang tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami