Mercedes dedah imej jentera baharu untuk musim F1 2026

Susulan pengenalan peraturan baharu bagi musim 2026, jentera W17 itu kini lebih kecil, tirus dan ringan berbanding model terdahulu - sama seperti jentera pasukan pesaing yang lain. - Foto: Formula 1
BERLIN: Mercedes mendedahkan imej pertama jentera baharu mereka bagi menghadapi musim Formula Satu (F1) 2026 pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jentera baharu itu memaparkan warna tradisional Mercedes perak dan hitam dengan perincian di dalam warna hijau.
Susulan pengenalan peraturan baharu bagi musim 2026, jentera W17 itu kini lebih kecil, tirus dan ringan berbanding model terdahulu - sama seperti jentera pasukan pesaing yang lain.
Ia dilengkapi enjin yang menghasilkan agihan kuasa hampir 50/50 antara kuasa elektrik dan pembakaran dalaman.
"Formula 1 akan mengalami perubahan besar pada 2026, dan kami bersedia untuk peralihan itu," kata prinsipal pasukan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Toto Wolff.
"Peraturan baharu menuntut inovasi dan fokus mutlak dalam setiap aspek prestasi," katanya lagi.
Mercedes akan menyertai pasukan lain di Barcelona minggu depan untuk sesi pandu uji selama lima hari.
Juara dunia lapan kali itu kemudiannya akan menganjurkan acara pelancaran musim bersama pelumba mereka, kakitangan kanan dan jentera W17 pada 2 Feb.
Ujian rasmi pramusim di Bahrain dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 13 Feb dan 18 hingga 20 Feb, manakala musim perlumbaan akan bermula di Grand Prix Australia pada 8 Mac.
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


