SPORTS

MFL tetapkan gaji siling pasukan Liga Super

Sinar Harian 23/05/2025 | 11:05 MYT
Tujuan utama pelaksanaan ini adalah untuk memastikan pengurusan kewangan kelab lebih berhemah, telus dan mampan, serta menjamin pembayaran gaji secara konsisten.
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pelaksanaan sepenuhnya peraturan Financial Fair Play (FFP) bermula musim 2025-2026 dengan penguatkuasaan mekanisme gaji siling sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab.


Ringkasan AI
  • Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan melaksanakan sepenuhnya peraturan Financial Fair Play (FFP) bermula musim 20252026, dengan had gaji maksimum ditetapkan pada 80% daripada bajet tahunan kelab.
  • Tujuan utama pelaksanaan ini adalah untuk memastikan pengurusan kewangan kelab lebih berhemah, telus dan mampan, serta menjamin pembayaran gaji secara konsisten.
  • Pematuhan akan dipantau melalui dua penyerahan utama sebelum musim bermula dan lima penyerahan berkala sepanjang musim, dengan tindakan tegas akan diambil terhadap kelab yang gagal mematuhi peraturan FFP.


Menerusi ketetapan baharu ini, setiap pasukan Liga Super tidak dibenarkan membelanjakan lebih 80 peratus daripada jumlah bajet tahunan mereka untuk pembayaran gaji, langkah yang dilihat mampu mengekang beban aliran tunai dan menjamin pembayaran gaji secara konsisten.

Menurut MFL, pelaksanaan ini merupakan lanjutan daripada pengenalan awal FFP musim lalu bertujuan memupuk budaya pengurusan kewangan berhemah, telus dan profesional dalam kalangan kelab.

"Ia bukan sekadar memastikan kelab dapat bersaing secara adil, tetapi juga untuk melindungi kelangsungan kelab dalam jangka masa panjang," kata MFL dalam satu kenyataan.

Bagi memastikan pematuhan, dua penyerahan utama akan dilaksanakan sebelum musim bermula iaitu Penyerahan Bajet dan Penyerahan Pra-Musim, manakala lima penyerahan berkala akan dibuat sepanjang musim.

Semua dokumen kewangan termasuk penyata interim, penyata pendapatan dan perbelanjaan, serta pengesahan tiada tunggakan kepada kakitangan dan agensi berkaitan akan disemak secara menyeluruh oleh Unit FFP.

"Kelab yang gagal mematuhi peraturan akan berdepan tindakan mengikut peraturan MFL Financial Fair Play Edisi 2025-2026.

"Bagi memperkukuh pelaksanaan, Unit FFP akan mengadakan bengkel secara fizikal pada 28 Mei yang melibatkan ketua pegawai eksekutif dan pegawai kewangan kelab Liga Super.

"Sebelum ini, bengkel dalam talian telah diadakan pada 5 Mac lalu bagi menerangkan secara asas tentang peraturan FFP musim hadapan," katanya. - Sinar Harian




#MFL #gaji siling #Liga Super #isu gaji pemain