SPORTS
Misi belum selesai - Syahir

Syahir memacu kemenangan skuad regu negara untuk muncul juara selepas menewaskan Thailand 2-0 pada Khamis. - Foto Sinar Harian
SKUAD negara menyifatkan perjuangan mereka masih belum selesai biarpun sudah meraih dua gelaran Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 dalam tempoh empat hari.
Malah tekong utama, Mohammad Syahir Mohd Rosdi juga enggan terlalu dibuai dengan kejayaan merangkul gelaran acara regu setelah menewaskan musuh tradisi, Thailand di Stadium Titiwangsa pada malam Khamis.
Ini kerana katanya, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang saingan regu berpasukan bermula pagi ini.
"Alhamdulillah kami menang 2-0, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya servis dan bola pertama."Kami tak boleh terlalu puas hati kerana jam 9 pagi ini sudah mula aksi berpasukan, dan kami kena cepat perbaiki apa yang kurang," katanya.
Syahir bersama Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) muncul juara selepas membenam cabaran skuad Gajah Perang 15-12, 15-9 dalam aksi final acara regu.
Keputusan itu mengulangi sejarah manis yang dipahat Malaysia di gelanggang sama semasa merangkul gelaran regu pada Piala Dunia 2024, juga dengan trio sama, Syahir, Azlan dan Farhan.
Bagaimanapun pemain kelahiran Pulau Pinang melihat kejayaan kali ini hadir dengan cabaran berlainan.
"Berbanding Piala Dunia tahun lalu, saya rasa ketika itu momentum kami lebih konsisten dari awal sampai ke final.
"Namun kali ini agak perlahan. Apapun Alhamdulillah semasa final lawan Thailand, kami berjaya dapat rentak sebenar," ujar Syahir.
Ini adalah gelaran kedua buat skuad negara di Piala Asia 2025 selepas merangkul kejuaraan acara kuadran, manakala muncul naib juara acara double selepas tumpas kepada Thailand Isnin lalu.
Malaysia berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran ketiga apabila akan membuka tirai acara regu berpasukan berdepan Brunei pada jam 9 pagi Jumaat, manakala aksi kedua akan menentang Jepun bermula jam 8 malam.
Saingan penutup tirai peringkat Kumpulan B pula bakal menemukan skuad negara dengan Korea Selatan bermula jam 3 petang Sabtu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami