IPOH: Ketiadaan gelanggang khas bukan penghalang bagi pemain tenis remaja negara melakukan latihan bagi mempersiapkan diri untuk menyertai acara kejohanan di peringkat antarabangsa.

Sebaliknya, Mitsuki Leong Wei Kang, 17, dan adik perempuannya Shihomi Leong Li Xuan, 14, berlatih bersama di gelanggang tenis milik kerajaan negeri berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini yang disediakan dengan bantuan Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTA) Fazwil Abdul Wahid selepas memperoleh kebenaran Majlis Sukan Negeri Perak.

Ia susulan Arena Tenis Perak milik Majlis Bandaraya Ipoh yang merupakan gelanggang bertaraf dunia di Stadium Perak dijadikan Pusat Penilaian COVID-19 sejak 2020.

Bapa mereka Jeff Leong yang juga jurulatih peribadi sepenuh masa berkata kedua-dua anaknya yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Poi Lam, Klebang di sini tetap bersemangat menjalani latihan meskipun terpaksa bergilir-gilir menggunakan gelanggang berkenaan dengan puluhan pemain yang lain.

"Walaupun susah kerana tiada kemudahan seperti tempat untuk berlatih dan hanya menggunakan gelanggang ini sahaja, atlet perlu berlatih untuk menyertai pertandingan supaya dapat mengekalkan kedudukan di peringkat dunia.

"Kami sangat 'struggle' ketika pandemik COVID-19 berikutan terpaksa mencari wang yang lebih banyak bagi tujuan ujian saringan dan proses kuarantin apabila ke luar negara," katanya ketika ditemui Bernama.

Jeff berkata beliau sedang bersiap sedia untuk mambawa Mitsuki menghadapi Kejohanan Remaja J4 dan J5 di Singapura dan Terbuka Thailand namun difahamkan kedua-dua negara telah menutup penganjurannya berikutan perkembangan semasa kes COVID-19.

Beliau berkata usaha menjadikan atlet-atlet berkenaan sebagai pemain terbaik dunia mendapat sokongan pihak PLTA, di bawah kelolaan Majlis Sukan Negeri Perak kerana mereka yang dilatih seawal usia lima tahun mempunyai potensi tinggi dan minat mendalam dalam sukan itu.

Mitsuki menjulang empat gelaran pada Kejohanan Tenis Remaja Dunia Thailand, Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) yang diadakan di Nonthaburi, Thailand baru-baru ini.

Berbekalkan ranking 1,150 remaja dunia, Mitsuki berjaya melonjak ranking ITF ke tangga 339 remaja dunia.

Ranking tertinggi beliau pernah mencecah ke tangga 200 remaja dunia tetapi menurun disebabkan penyertaan ke kejohanan luar negara terhalang kerana pandemik COVID-19.

Beliau menjuarai acara perseorangan di tiga kejohanan iaitu J5 yang pertama pada 16 hingga 20 Nov tahun lepas dan dua lagi kejohanan iaitu ITF J4 pada 30 Nov hingga 4 Dis dan ITF J4 (7 hingga 11 Nov) selain muncul juara beregu J5 (23 hingga 27 Nov).

Selain Mitsuki, adik perempuannya itu berjaya sehingga peringkat separuh akhir pada kejohanan J4 yang terakhir.

Sementara itu, Fazwil berkata beliau berpendapat kejayaan Mitsuki di Thailand baru-baru ini menjadikan beliau pemain tenis termuda dan satu-satunya pemain negara yang berjaya memenangi kejohanan remaja ITF terbanyak hingga kini.

"Mitsuki dan Shihomi adalah satu anugerah yang harus diberi perhatian khusus supaya dapat diasah dan diasuh sekali gus menjadi antara pemain tenis profesional yang bertanding di persada tenis dunia (peringkat ATP-Persatuan Tenis Profesional) dan tidak mustahil bakal menjadi juara di peringkat Grand Slam," katanya.

Beliau juga berharap ada badan-badan korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan atau pihak persendirian sudi membantu dan menyumbang bantuan kewangan untuk merealisasikan usaha mereka menaikkan nama Malaysia dalam arena sukan tenis dunia.

-- BERNAMA