MMA: Atlet negara Keanu Subba tewaskan 'fighter' Myanmar di Yangon

Haider Yutim
Oktober 26, 2018 17:37 MYT
Keanu Subba menggegarkan Stadium Thuwanna selepas menundukkan Phoe Thaw di kejohanan ONE Championship di Yangon, malam tadi. - Foto ONE Championship
Atlet seni bela diri campuran (MMA) negara, Keanu Subba menggegarkan Stadium Thuwanna di Yangon, malam tadi selepas menundukkan petarung Myanmar, Phoe Thaw di kejohanan ONE Championship 'Pursuit Of Greatness'.
Keanu memulakan pertarungan dengan membawa lawannya ke 'ground' sekaligus membuka peluang kepada dirinya untuk mengatasi Phoe yang lebih gemar bertarung secara berdiri.
Babak kedua pula menyaksikan Keanu mengenakan kuncian 'guillotine choke' terhadap Phoe, memaksa lawannya itu menyerah kalah pada minit 2.47.
Sementara itu, Keanu ketika ditemui selepas perlawanan berkata, kemenangan ke atas Phoe merupakan sesuatu yang sangat mengembirakan.
"Saya gembira diberi peluang untuk bersaing di sini. ia satu pengalaman yang hebat. Kemenangan ini untuk Malaysia... Malaysia boleh!" katanya.
Tambahnya, dia akan berehat selama seminggu apabila pulang ke Malaysia nanti, dan dijangka akan bersaing di kejohanan ONE Championship di Kuala Lumpur pula, Disember nanti.
#Keanu Subba #MMA #Myanmar #ONE Championship #Phoe Thaw #Pursuit Of Greatness #seni bela diri campuran #Yangon