Penerbit e-sukan mudah alih popular Mobile Legends, Moonton memohon maaf berhubung isu-isu yang timbul ketika perlawanan pemilihan pasukan ke separuh akhir Piala Asia Tenggara (MSC).

Dalam satu kenyataan Facebook yang dimuat naik semalam, Moonton berkata kesilapan penganjur kejohanan, RevivaLTV telah menyebabkan pasukan Malaysia AirAsia Saiyan dan pasukan Indonesia Aerowolf menandatangani dua perjanjian kontrak kejohanan yang berbeza.

“Kesilapan itu seterusnya telah mengakibatkan permahaman berbeza bagi kedua-dua pasukan itu.

“Sebelum isu ini timbul, memang kami sudah mengkaji kontrak peraturan yang disediakan RevivaLTV dan mendapati memang AirAsia Saiyan layak ke pusingan seterusnya.

“Namun selepas itu kami mendapati terdapat dua buku peraturan berbeza. Selepas meneliti kedua-dua buku peraturan tersebut kami membuat keputusan untuk membatalkan kelayakan mereka dan mengadakan satu lagi perlawanan pada hari ketiga MSC,” jelas Moonton dalam kenyataan itu.

Kenyataan daripada Moonton berkenaan kelayakan separuh akhir Piala Asia Tenggara

Kenyataan daripada Moonton berkenaan kelayakan separuh akhir Piala Asia Tenggara
AirAsia Saiyan dan Aerowolf berada dalam kumpulan A dalam kejohanan MSC dan perlu bersaing bagi merebut kedudukan dua teratas sebelum layak ke separuh akhir.

Bagaimanapun, AirAsia Saiyan dan Aerowolf terikat di kedudukan kedua teratas dalam kumpulan itu.

Dalam format peraturan kumpulan 5.7 kejohanan yang diterima AirAsia Saiyan, jika terdapat pematah seri (tie-breaker) dalam perikat kumpulan ia perlu diputuskan dengan rekod perbezaan mata bunuh (KDA) dan rekod perlawanan untuk layak ke separuh akhir.

Menerusi kontrak yang diterima AirAsia Saiyan itu, mereka mendapat kelebihan dengan mata KDA 28 manakala Aerowolf mengutip mata 17 secara keseluruhan dalam saringan kumpulan.

BACA: AirAsia Saiyan protes, tarik diri daripada MSC

Sementara itu, menurut Moonton, pasukan Aerowolf mendapat kontrak yang berbeza iaitu jika terdapat pematah seri dalam perikat kumpulan ia perlu diputuskan dengan rekod perlawanan berbanding rekod perbezaan mata bunuh (KDA) untuk layak ke separuh akhir.

Melihat kepada situasi ini, Aerowolf mempunyai kelebihan 1-0 apabila mengalahkan AirAsia Saiyan pada hari pertama MSC.

Lantaran itu, Moonton mencadangkan untuk mengadakan perlawanan semula (rematch) bagi situasi ini. Bagaimanapun, AirAsia Saiyan bertindak untuk menarik diri adalah sebagai langkah protes terhadap tindakan RevivaLTV.

AirAsia Saiyan juga mendakwa kesalahan yang dilakukan RevivaLTV tidak sepatutnya menjejaskan integriti kejohanan ini terutama apabila pengumuman pasukan itu layak ke separuh akhir telah diputuskan pada pukul 11 malam Sabtu.

Astro AWANI masih mencuba untuk mendapatkan reaksi daripada RevivaLTV dan Aerowofl setakat ini, namun masih tiada sebarang maklum balas dari kedua-dua pihak berkenaan.