KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mahu terus menyinar tahun hadapan dengan meletakkan misi pertamanya untuk memburu sekurang-kurangnya kedudukan keempat di ranking kelayakan Olimpik sebelum ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Badang negara berusia 21 tahun itu berkata, untuk merealisasikan misi itu, beliau perlu membuat angkatan keseluruhan sebanyak 305 kilogram (kg) di Piala Dunia 2024 di Phuket, Thailand pada April depan.

"Jurulatih memang sasar untuk kejar angkatan 305kg, kalau buat angkatan dalam 300kg saya kira akan menghuni ranking keempat dunia dan itu sasaran saya sebelum ke Olimpik tahun depan.

"Sekarang saya sudah di ranking ketujuh dunia, selepas kejohanan di Qatar dua minggu lepas dan saya harap tiada yang mampu memotong kedudukan ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa

Awal Disember lepas, atlet kelahiran Johor itu melakar kejayaan sensasi dengan meraih dua pingat di Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar.

Lebih manis, kejayaan Mohamad Aniq itu menyaksikan beliau memperbaharui rekod kebangsaan 291kg miliknya sendiri semasa memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi pada September lepas.

Pencapaian itu sekali gus meletakkan Mohamad Aniq di kedudukan ketujuh ranking kelayakan Olimpik dan penyertaan pada Sukan Olimpik dihadkan kepada atlet di kedudukan 10 terbaik ranking kelayakan Olimpik sahaja.

Namun, ia belum menjamin slot buat Mohamad Aniq untuk ke temasya berprestij itu memandangkan ranking kelayakan akan sering berubah dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Mohamad Aniq berkata, jurulatihnya, Edmund Yeo akan memberi tumpuan untuk memberi tekanan bagi acara snatch dalam persediaan ke piala dunia.

"Sekarang saya sedang rehat, tapi untuk Januari nanti jurulatih akan beri latihan berintensiti tinggi selain tekankan untuk acara snatch, sebab masa di Qatar saya rasa ada kelemahan yang banyak pada snatch.

"Kami akan teruskan latihan di tanah air, sebelum bulan Mac kami akan ke Shanghai, China untuk sertai kem latihan, saya rasa di Shanghai saya akan lebih fokus dan bantu saya ke piala dunia," katanya.

Piala Dunia 2024 akan berlangsung di Phuket, Thailand bermula 2-11 April tahun depan.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangannya yang kini berada dalam program Road to Gold (RtG), pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu berkata, kemudahan yang disediakan program itu nyata banyak membantu beliau untuk meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

"Dengan kemudahan yang saya terima juga, sedikit sebanyak jadi pembakar semangat untuk saya teruskan prestasi cemerlang supaya saya kekal berada dalam program ini," katanya. - BERNAMA