SUKAN

MOM pertimbang benarkan skuad bola baling ke Sukan SEA Thailand

Bernama 24/08/2025 | 07:05 MYT
Mohamad Norza ketika ditemui pemberita selepas Kejohanan Futsal Perpaduan Bawah 18 Piala Datuk Santokh Singh 2025 di WNZ Sports Arena Puchong pada Sabtu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Berita baik buat Persatuan Bola Baling Malaysia (MAHF) apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempertimbangkan untuk menarik semula penggantungan dikenakan terhadap persatuan bagi membenarkan atlet dan pegawai mereka menyertai Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.


Ringkasan AI
  • 1, Majlis Olimpik Malaysia sedang menilai semula penggantungan terhadap Persatuan Bola Baling Malaysia bagi membolehkan penyertaan mereka dalam Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
  • Presiden MOM menegaskan bahawa atlet dan pegawai tidak wajar menjadi korban akibat kemelut dalaman persatuan dan menyokong kemunculan semula bola baling ke arus perdana.
  • MAHF digantung pada 2021 selepas gagal menyelesaikan hutang berkaitan perbelanjaan skuad ke Sukan Asia 2018, menyebabkan bola baling dikecualikan daripada Sukan SEA 2025.


Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata sudah tiba masanya bola baling kembali ke arus perdana dan memastikan atlet serta pegawai tidak menjadi mangsa kepada kemelut melanda persatuan sebelum ini.

"Baru-baru ini kita telah berjumpa persatuan dan mempertimbangkan untuk mereka kembali dan menarik semula penggantungan sebab kita faham mereka melalui proses sukar sebelum ini.

"Kita tak mahu disebabkan proses sukar itu atlet dan pegawai jadi korban. Sudah tiba masanya kita mahu membawa kembali sukan itu dan hantar pasukan kita kalau boleh ke Sukan SEA dan menyertai kejohanan yang diadakan selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nasir Ali memaklumkan Malaysia menyertai semua acara sukan di Sukan SEA 2025 kecuali bola baling.

Pada 2021, Setiausaha Agung MOM ketika itu Datuk Nazifuddin Mohd Najib mengumumkan MAHF dibuang sebagai ahli gabungan MOM selepas gagal menyelesaikan hutang membabitkan perbelanjaan skuad bola baling negara ke Sukan Asia 2018 di Indonesia.

-- BERNAMA






#MOM #Mohamad Norza Zakaria #Sukan SEA Thailand #skuad bola baling