Morais letak jawatan Ketua Jurulatih JDT

Astro Awani
Februari 25, 2018 13:09 MYT
Ulisses Morais sempat melatih JDT selama sembilan bulan sebelum melepaskan jawatan atas alasan masalah kesihatan keluarga. - Foto Instagram @officialjohor
Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Ulisses Morais membuat pengumuman mengejutkan dengan meletak jawatannya, tidak sampai setahun mengendalikan kelab itu atas alasan kesihatan keluarganya.
"Segala hal dalam kehidupan perlu ada keutamaan. Di atas sebab-sebab kesihatan keluarga, saya terpaksa meninggalkan anda dan kelab ini," katanya dalam kenyataan menerusi akaun rasmi Facebook kelab JDT, Johor Southern Tigers.
Morais dilantik sebagai Ketua Jurulatih JDT pada 19 Jun lalu, bagi menggantikan Benjamin Mora.
Mengakui sedih dengan keputusan itu, Morais berkata dia akan kekal dalam sejarah JDT dan sentiasa berada di dalam hatinya.
Malah Morais turut menyatakan penghargaan kepada semua kakitangan JDT terutama kepimpinan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail, yang menjadikan tugasnya lebih mudah sepanjang sembilan bulan memegang jawatan itu.
"Baginda adalah seorang yang berwawasan. Apa yang difikirkan, tidak lama selepas itu ia akan berlaku. Dengan mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap penyokong dan masyarakat Johor, menjadikan baginda adalah yang terbaik," katanya lagi.
Sepanjang mengendalikan JDT, jurulatih kelahiran Portugal itu telah membawa kelab meraih pelbagai kejuaraan antaranya merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama.
#bola sepak #JDT #Johor Darul Takzim #keluarga #letak jawatan #Tunku Ismail #Ulisses Morais