MotoGP: Bagnaia sambar petak utama esok

Pada sesi Kelayakan 2 (Q2), pelumba Itali itu mencatat masa 1 minit 57.001 saat untuk menempah petak utama. - Gambar fail/ Bernama
SEPANG: Pelumba Ducati Lenovo Team Francesco Bagnaia, mengukuhkan status sebagai juara bertahan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia apabila muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan musim 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Pada sesi Kelayakan 2 (Q2), pelumba Itali itu mencatat masa 1 minit 57.001 saat untuk menempah petak utama, meninggalkan pelumba BK8 Gresini Racing MotoGP, Alex Marquez, di tempat kedua dengan catatan 1:57.017s.
Seorang lagi pelumba Itali, Franco Morbidelli daripada Pertamina Enduro VR46 Racing Team, bakal memulakan perlumbaan di petak ketiga selepas merekodkan masa 1:57.159s.
Untuk rekod, pada edisi 2024, Bagnaia turut bermula di petak utama dengan catatan masa 1:56.337s sebelum menjuarai perlumbaan di Sepang, menewaskan Jorge Martin (Prima Pramac Racing) yang menduduki tempat kedua dan rakan sepasukan, Enea Bastianini, di tempat ketiga.
Sementara itu, pelumba Ducati Lenovo Team, Marc Marquez, telah mengesahkan kejuaraan keseluruhan musim 2025 selepas mengumpul 545 mata, diikuti adiknya, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) dengan 379 mata, manakala Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) di tangga ketiga dengan 274 mata.
MotoGP musim ini berbaki dua perlumbaan, masing-masing di Portugal dan Valencia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


