MotoGP: Damok tekad terus raih mata dalam GP Sepanyol

Astro Arena
April 28, 2023 15:16 MYT
Syarifuddin Azman bertekad untuk mempamerkan tunggangan terbaiknya untuk mendapatkan lebih banyak mata. - StadiumAstro.com
PELUMBA Moto3 negara, Syarifuddin Azman, bertekad untuk mempamerkan tunggangan terbaiknya untuk mendapatkan lebih banyak mata menjelang perlumbaan Grand Prix Sepanyol hujung minggu ini.
Pelumba pasukan MT Helmets – MSI itu meraih lima mata pertamanya musim ini selepas menamatkan saingan GP Argentina di tempat ke-11 awal bulan ini.
Bagaimanapun, dia kemudian gagal menamatkan perlumbaan dalam GP Amerika Syarikat pada minggu lalu, sekali gus bertekad untuk kembali mendapatkan mata di Litar Jerez kali ini.
Pelumba yang turut dikenali dengan gelaran Damok itu berkata kepada Astro Arena: "Saya sudah melakukan penyelenggaraan terhadap jentera dan peralatan saya bagi sesi latihan bebas.
"Saya dan pasukan saya telah bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam perlumbaan hujung minggu ini.
"Saya berharap anda semua dapat mendoakan saya dan semua pelumba Malaysia agar mendapatkan keputusan yang baik dalam perlumbaan kali ini," katanya.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com
#Syarifuddin Azman #Damok #Moto3 #pelumba negara #Grand Prix Sepanyol