ALEIX Espargaro mengekang Jorge Martin di Argentina untuk meraih kemenangan MotoGP pertama dalam kariernya -- kemenangan perlumbaan pertama Aprilia sejak pasukan itu kembali pada 2015.

Espargaro yang berusia 32 tahun telah merangkul petak pertama Aprilia dengan prestasi kelayakan yang mengagumkan di Termas de Rio Hondo, dan meneruskan rentak cemerlang apabila meraih kemenangan grand prix yang telah lama ditunggu-tunggu dalam perlumbaan yang mendebarkan.

Espargaro meraih kemenangan pada permulaan yang ke-200 dalam saingan MotoGP, dan dia harus melakukan yang terbaik untuk mengatasi rakan senegaranya, Martin dalam perlumbaan yang menarik.

Ia bukan perlumbaan biasa untuk Espargaro selepas permulaannya yang perlahan membenarkan Martin merampas kelebihan awal, yang dikekalkannya selama 17 daripada 25 pusingan.

Martin, yang terkeluar daripada perlumbaan di Qatar dan Indonesia semasa permulaan mimpi buruknya musim ini, kehilangan tempat kepada Espargaro pada selekoh kelima pusingan ke-18 sebelum kembali memimpin saingan.

Espargaro kemudian melakukan pintasan yang di selekoh sama pada pusingan ke-21, mempertahan kelebihan sebelum melepasi garisan penamat.

Alex Rins menamatkan saingan di tempat ketiga sementara Joan Mir di tempat keempat, bermakna pelumba Sepanyol menduduki setiap empat kedudukan teratas di Argentina.