KUALA LUMPUR: Seramai tiga pemain dan dua pegawai pasukan terlibat dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022 masing-masing dikenakan hukuman penggantungan perlawanan kerana berkelakuan ganas serta tidak bersemangat kesukanan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dalam kenyataan hari ini berkata hukuman tersebut diputuskan jawatankuasa itu semalam dalam mesyuarat kali keenam bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM.

Tiga pemain itu adalah Muhamad Norakmal Norizal yang mewakili pasukan Perak, Muhammad Amirul Sugito (Selangor TOT United) dan Muhammad Hamzah Ahmad (Kedah) manakala dua pegawai pasukan adalah Mohd Zulhilmi Razali (PDRM FC) dan S Devandran dari KL City FC.

Muhamad Norakmal dan Muhammad Amirul yang melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM masing-masing dihukum dengan penggantungan tiga perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik.

Pada masa sama, Muhammad Hamzah dan Mohd Zulhilmi yang didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan dengan Mohd Zulhimi turut dikenakan denda sebanyak RM1,000.

Sementara itu, Devandran yang melanggar Artikel 62 Kod Tatatertib FAM dikenakan hukuman penggantungan empat perlawanan.

Dalam pada itu, Baljit Singh berkata walaupun keputusan hukuman itu boleh dirayu namun kesemua pemain dan pegawai terlibat diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

-- BERNAMA