Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
SUKAN

Munoz mahu pemain tingkatkan rentak, lebih seimbang selepas JDT tewaskan UM-Damansara FC

Bernama 17/08/2025 | 02:50 MYT
Munoz bercakap pada sidang media selepas perlawanan Piala FA 2025/2026 menentang UM-Damansara United di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. --fotoBERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) Xisco Munoz berpuas hati dengan kemenangan 5-0 ke atas UM-Damansara FC pada pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, namun mahu pemain meningkatkan lagi intensiti dan aksi lebih seimbang di semua bahagian.


Ringkasan AI
  • JDT menang besar 5-0 ke atas UM-Damansara FC dalam Piala FA, dengan Jonathan Silva menjaringkan dua gol; namun jurulatih Xisco Munoz mahu pemain tingkatkan intensiti dan keseimbangan pasukan.
  • Munoz akui pasukan hanya temui rentak selepas gol pertama, dan menegaskan JDT perlu beraksi lebih baik di laman sendiri serta menggunakan peluang serangan dengan lebih berkesan.
  • Jurulatih UM-Damansara FC, Ridzuan Abu Shah berbangga dengan komitmen pemain walaupun bermain 10 orang selepas kad merah, dan mengesahkan kemasukan dua pemain import baharu untuk memperkuat skuad.


Beliau mengakui peringkat awal permainan agak sukar dan pemain hanya menemui rentak selepas gol pembukaan yang memberikan mereka keyakinan untuk mara mencabar lawan sekali gus merubah momentum permainan.

"Jaringan pertama ini sangat penting bagi kami kerana sebelum itu kami tidak dapat mencari rentak permainan. Selepas menjaringkan gol pasukan bermain dengan lebih yakin dan bertenaga, dari situ kami mula meningkatkan tekanan dan mencipta lebih banyak peluang.

"Bukan mudah untuk mencipta gol pertama tetapi bila berjaya permainan menjadi lebih terbuka dan kita mempunyai lebih banyak peluang," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan keseluruhan prestasi pasukannya selepas tiga perlawanan musim ini, Munoz menegaskan masih ada yang perlu diperbaiki terutama ketika bermain di laman sendiri.

"Perkara paling penting kita mesti beraksi lebih baik di laman sendiri. Pemain masih dalam proses menyesuaikan diri dengan rentak di sini, terutama bagi pemain baharu. Langkah demi langkah kita perlu mencari keseimbangan yang tepat. Malam ini, kita mencipta banyak peluang termasuk sepakan penalti tetapi dalam serangan mesti gunakan keupayaan kita dengan lebih berkesan," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, JDT menang bergaya 5-0 ke atas pasukan Liga A1, UM-Damansara FC, selepas pasukan lawan menerima tamparan hebat pada minit ke-38 apabila kapten mereka, Hariz Mansor dilayangkan kad merah akibat menerima kad kuning kedua.

JDT memecah kebuntuan sebelum tamat separuh masa pertama apabila pemain pertahanan kiri dari Argentina, Jonathan Silva menjaringkan gol pada minit ke-44, sebelum menambah jaringan kedua peribadi menerusi tandukan sepuluh minit selepas babak kedua bermula sekali gus meletakkan Harimau Selatan dalam kedudukan yang kukuh.

Sementara itu, pengendali UM-Damansara FC Ridzuan Abu Shah tetap berpuashati hati terhadap prestasi yang ditampilkan anak buahnya.

Beliau berkata pasukannya bermain cemerlang pada awal perlawanan sebelum berdepan insiden kad kuning kedua yang menyebabkan Hariz dilayangkan kad merah.

"Sepatutnya Hariz digantikan pada separuh masa kedua kerana corak permainannya agak agresif di posisi tengah namun kad merah berlaku lebih awal daripada jangkaan.

"Walaupun beraksi dengan 10 orang saya tetap berbangga dengan usaha dan komitmen semua pemain. Mengenai penalti yang diberikan kepada JDT, kita akan meneliti semula rakaman video analisis bagi mendapatkan kepastian," katanya.

Mengulas dari sudut taktikal beliau menjelaskan pasukannya menggunakan formasi 5-4-1, bagaimanapun kelemahan utama jelas ketara pada aspek hantaran, khususnya daripada pemain tengah dan pertahanan yang gagal sampai ke jentera serangan.

Dalam pada itu, Ridzuan mengesahkan kehadiran pemain import baharu yang akan tiba pada Jumaat ini untuk memperkukuh skuad dalam saingan liga manakala seorang lagi penyerang import akan dibawa masuk dalam masa terdekat.

-- BERNAMA



#Piala FA #JDT #Xisco Munoz #UM-Damansara FC