KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain, sah tidak bersama skuad Penyu untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFCSB) Ab Rasid Jusoh berkata ketua jurulatih kelahiran Kelantan itu, telah menolak tawaran lanjutan kontrak yang diberikan kepada beliau atas alasan tertentu.

"Kita terima surat jawapan daripada beliau (Nafuzi) yang dihantar ke pejabat TFCSB pada pukul 4.47 petang semalam.

"Beliau tidak bersetuju untuk menyambung tawaran yang kita berikan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak penajaan 2023 antara TFCSB dengan anak syarikat negeri Terengganu.

Bagaimanapun Ab Rasid berkata pengendali muda kelahiran Kelantan itu, tidak direhatkan daripada baki tiga perlawanan saingan Piala Malaysia musim ini.

Beliau berkata konflik yang berlaku antara pihak pengurusan dan Nafuzi tidak menjejaskan persiapan pasukan dalam misi memburu kejuaraan piala paling berprestij di Liga M. 

"Kita telah mengadakan mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah TFCSB, tidak ada sebarang perubahan. Beliau masih menerima gaji daripada TFCSB, jadi tidak ada sebab untuk beliau direhatkan daripada tugasnya selagi kontrak masih ada," katanya.

Dalam pada itu, Ab Rasid berkata TFCSB akan meneliti calon ketua jurulatih yang baharu untuk musim depan.

Calon tersebut katanya perlu memiliki reputasi atau prestasi yang menyamai atau lebih baik daripada ketua jurulatih sedia ada.

"Ini bagi memastikan kesinambungan dan pencapaian pasukan tidak lari jauh daripada apa yang kita capai sekarang," katanya yang turut melahirkan penghargaan kepada Nafuzi atas sumbangannya membawa TFC ke final Piala FA musim ini dan pentas Piala Konfederasi Asia (AFC) tahun depan.

Nafuzi memulakan kariernya di Terengganu pada 2016 dengan menjawat jawatan ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team, sebelum dipilih menjadi penolong jurulatih skuad utama Terengganu bermula 2017 hingga 2019.

Pada 2020, Nafuzi dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih TFC sehingga musim ini sehingga kontraknya tamat pada 30 Nov ini.

-- BERNAMA