Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
SUKAN

Neymar alami kekalahan terbesar dalam karier

Bernama 18/08/2025 | 14:10 MYT
Neymar duduk di atas padang sejurus selepas wisel penamat dibunyikan dan mula menangis. - Reuters
BERLIN: Neymar meninggalkan padang sambil menangis selepas mengalami kekalahan terbesar dalam kariernya pada Ahad malam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pasukan Santos yang diwakilinya tewas 0-6 kepada Vasco pada perlawanan minggu ke-20 Liga Brazil. Sebelum ini, kekalahan terburuknya hanyalah dengan keputusan 0-4.

Kekalahan pertama itu dialami ketika Santos menentang Barcelona dalam perlawanan akhir Piala Kelab Dunia pada 2011. Selepas berpindah ke Barcelona, beliau sekali lagi mengalami kekalahan 0-4 kepada Paris Saint-Germain di pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara pada 2017.

Neymar duduk di atas padang sejurus selepas wisel penamat dibunyikan dan mula menangis. Rakan sepasukannya cuba membantunya bangun tetapi beliau enggan.

Sebelum meninggalkan padang, pemain antarabangsa Brazil itu dilihat teresak-esak sambil dipeluk oleh jurulatih Vasco, Fernando Diniz.

Beliau kemudiannya bercakap kepada pemberita dengan menyifatkan kekalahan itu sebagai "memalukan" dan "semua orang perlu memikirkan sesuatu malam ini".

"Saya tidak pernah melalui perkara seperti ini dalam hidup saya. Saya menangis kerana marah. Malangnya saya tidak dapat membantu dalam semua aspek. Hari ini sangat teruk, itulah realitinya," katanya.

Santos kini berada di kedudukan ke-15 dalam carta liga dan telah memecat jurulatih Cleber Xavier selepas kekalahan besar kepada Vasco.

Neymar, 33, kembali ke kelab lamanya, Santos pada Januari selepas menamatkan kontraknya lebih awal dengan kelab Arab Saudi, Al Hilal. Kontrak semasanya akan berakhir pada penghujung 2025.

-- BERNAMA

#Neymar #kekalahan #Santos #Liga brazil #bola sepak