Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menjangka suasana yang menggegarkan apabila beraksi di hadapan penonton sendiri pada Kejohanan Skuasy Dunia PSA di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil bermula Isnin.

Juara dunia itu berharap mendapat sokongan gemuruh daripada penonton tempatan untuk memberi perangsang kepadanya ketika mengintai untuk meraih gelaran kesembilan pada kejohanan berprestij itu.

"Saya akan memanfaatkan peluang beraksi di Malaysia dan saya pasti suasana akan penuh bertenaga dalam stadium," kata beliau semasa dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang Persatuan Skuasy Profesional (PSA): www.psaworldtour.com, hari ini.

"Sudah tentu, ia satu bonus besar (untuk merangkul gelaran di hadapan peminat sendiri] tetapi matlamat utama saya hanya untuk menikmati detik beraksi di Malaysia dan pada masa yang sama memburu cabaran," kata juara dunia lapan kali itu.

Nicol yang mengalami turun naik musim ini termasuk terlepas ranking teratas dalam carta dunia kepada pemain England, Laura Massaro Januari tahun ini berkata pengalaman banyak membantunya untuk melangkah ke tahap seterusnya dalam perlawanan.

Nicol akan memulakan cabaran bagi mempertahankan gelaran menentang pemain Australia, Rachael Grinham dalam perlawanan pembukaan pada Selasa.

Untuk rekod, Nicol telah menjuarai kejohanan dunia sebanyak lapan kali - 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014.