[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
SUKAN

Noor Ainaa galas harapan negara, teruskan legasi keluarga pada Sukan SEA 2025

Bernama 27/11/2025 | 15:30 MYT
Noor Ainaa mengakui fokusnya kini tertumpu sepenuhnya pada Sukan SEA selepas menangguhkan sementara penyertaan pada PSA musim ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Tiada siapa menyangka langkah kecil seorang adik yang sekadar mengikut abang-abangnya ke gelanggang skuasy akhirnya menjelmakan seorang atlet yang bakal menggalas harapan negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.


Ringkasan AI
  • Noor Ainaa Amani Ampandi, 23 tahun, bakal mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2025 di Thailand, menjadikan dirinya sebagai harapan negara dalam skuasy.
  • Sebagai penerus legasi keluarga sukan skuasy, Noor Ainaa membesar dalam keluarga yang terlibat secara aktif dalam sukan tersebut, dengan bapanya sebagai jurulatih dan kedua-dua abangnya turut bergelar jurulatih.
  • Noor Ainaa bertekad untuk mencipta sejarah dengan menyasarkan pingat emas dalam acara perseorangan wanita di Sukan SEA, menandakan kemunculan semula skuasy dalam pertandingan tersebut selepas dua edisi terdahulu tanpa pertandingan skuasy.


Noor Ainaa Amani Ampandi, 23, yang bakal membuat penampilan sulung pada temasya sukan dwitahunan itu bukan sahaja membawa harapan Malaysia, malah mengangkat nama keluarganya yang sudah lama berakar dalam sukan skuasy.

Lahir sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu membesar dalam persekitaran sukan skuasy lebih daripada sekadar hobi apabila bapanya sendiri seorang jurulatih manakala kedua-dua abangnya bergiat aktif sehingga turut bergelar jurulatih.

Keterlibatan itu menjadikan Noor Ainaa penerus legasi keluarga, namun buat pertama kali beliau akan melangkah ke pentas Sukan SEA iaitu pencapaian yang belum pernah diraih ahli keluarganya sebelum ini.

"Sejak kecil Ainaa memang ikut abang-abang ke gelanggang skuasy dan daripada situlah tercetusnya minat dalam sukan ini. Ayah pula seorang jurulatih, jadi Ainaa sudah memegang raket sejak usia tiga tahun dan mula bertanding seawal usia lima tahun sehingga sekarang.

"Ayah adalah jurulatih pertama Ainaa, dan daripada beliaulah datangnya dorongan awal. Keluarga menjadi sistem sokongan terbesar Ainaa, tanpa bantuan dan sokongan mereka mungkin saya tidak berada pada tahap ini," katanya ketika mengimbau perjalanan kariernya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata kenangan mewakili Wilayah Persekutuan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perlis dan SUKMA 2018 di Perak bersama abangnya menjadi detik paling bermakna kerana buat seketika legasi keluarga berada dalam pasukan yang sama dan berkongsi satu impian mencipta kejayaan.

Pada masa sama, beliau mengakui pernah bergiat dalam tarian tradisional ketika di bangku sekolah rendah, namun nalurinya tetap kembali kepada skuasy.

Sementara itu, Noor Ainaa yang bakal beraksi dalam acara perseorangan wanita di Thailand bertekad menjadikan penampilan sulung itu sebagai pentas mencipta sejarah apabila menyasarkan memenangi pingat emas, sekali gus meneruskan penguasaan Malaysia dalam sukan itu.

Beliau yang pernah beraksi pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham mengakui fokusnya kini tertumpu sepenuhnya pada Sukan SEA selepas menangguhkan sementara penyertaan pada Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) musim ini.

"Secara peribadi Ainaa nak bawa balik pingat emas, ia akan jadi pencapaian terbesar sebab saya terlepas beberapa temasya utama seperti Sukan Asia sebelum ini dan sudah tentu akan mengubah apa sahaja yang Ainaa tengah lalui ketika ini," katanya.

Sebagai rekod, pada Sukan Komanwel 2022, Noor Ainaa yang berpasangan dengan Chan Yiwen hampir mencipta kejutan apabila mara sehingga ke peringkat separuh akhir beregu wanita sebelum tunduk kepada gandingan pilihan Joelle King-Amanda Landers-Murphy dari New Zealand.

Skuasy tidak dipertandingkan pada dua edisi Sukan SEA sebelum ini, iaitu 2021 di Hanoi, Vietnam dan 2023 di Kemboja, sekali gus menandakan kemunculan semula di Thailand lebih bermakna bagi Malaysia.

Kali terakhir acara itu dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina apabila Malaysia berjaya mendominasi dengan meraih empat emas, satu perak dan satu gangsa.

Sukan SEA 2025 akan berlangsung dari 9 sehingga 20 Dis ini.

-- BERNAMA



#Sukan SEA #Sukan Komanwel #gelanggang skuasy #SUKMA