SUKAN
Norris bangkit menangi GP Austria; Red Bull alami malapetaka
Norris menjulang trofi selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Austria di Spielberg, Austria, 29 Jun 2025. (Foto AP)
SPIELBERG (Austria): Lando Norris bangkit daripada hujung minggu yang buruk di Kanada untuk memenangi Grand Prix Formula Satu Austria pada Ahad, mengatasi rakan sepasukan McLaren yang juga pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Norris gagal menamatkan perlumbaan di Kanada dua minggu lepas selepas berlanggar dengan Piastri, namun di Austria, pemandu Britain itu bermula dari petak utama dan mendahului sepanjang perlumbaan untuk meraih kemenangan ketiganya musim ini.
Piastri menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan kekal mendahului kedudukan pemandu dengan kelebihan 15 mata ke atas Norris. Pemandu Ferrari, Charles Leclerc melengkapkan podium di tempat ketiga.
Sementara itu, pasukan tuan rumah Red Bull berdepan malapetaka apabila juara dunia Max Verstappen tersingkir pada pusingan pertama selepas insiden dengan Kimi Antonelli daripada Mercedes, manakala Yuki Tsunoda hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.
Permulaan perlumbaan terpaksa dibatalkan selepas Carlos Sainz dari Williams gagal bergerak semasa pusingan pemanas.
Perlumbaan bermula lewat sekitar 20 minit, dan Norris serta Piastri saling bersaing rapat pada pusingan pertama, namun Norris berjaya mempertahankan kedudukan.
Kedua-dua pesaing kejuaraan ini berentap sengit pada peringkat awal perlumbaan, dengan Piastri sempat mendahului pada pusingan ke-11 sebelum Norris merampas semula kedudukan tidak lama kemudian.
Piastri cuba membuat satu lagi percubaan untuk memintas Norris pada pusingan ke-20, namun tayarnya terkunci selepas membrek dan hampir melanggar rakan sepasukannya itu.
-- BERNAMA