SPORTS

Norris juara GP Monaco, peraturan baharu 'gagal beri impak'

Bernama 25/05/2025 | 22:20 MYT
Norris meraikan kejayaan dengan trofi di podium selepas memenangi GP Monaco, bersama Leclerc di tempat kedua, dan Piastri di tempat ketiga, serta ketua eksekutif McLaren Zak Brown, di Circuit de Monaco, Monaco, 25 Mei 2025. REUTERS
MONACO: Pemandu McLaren Lando Norris memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix (GP) Monaco dari petak utama pada Ahad, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Ini selepas peraturan baharu yang mewajibkan dua hentian pit bagi menambah keterujaan perlumbaan dilihat gagal memberi impak yang ketara.

Pelumba Ferrari Charles Leclerc yang memenangi perlumbaan GP Monaco di tanah airnya tahun lepas, bermula di petak kedua dan menamatkan saingan di tempat kedua. Beliau sekurang-kurangnya berjaya mengekori rapat Norris sehingga ke hujung perlumbaan. Bagaimanapun, cubaan memotong nyata terlalu sukar.

Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri yang juga pendahulu kejuaraan, bermula dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga diikuti juara dunia Max Verstappen di kedudukan keempat.

Di sebalik kemewahan Monte Carlo, perlumbaan itu sering dikritik sebagai membosankan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana hampir mustahil untuk memotong.

Susulan itu, pihak pengurusan F1 memperkenalkan peraturan baharu yang mewajibkan pemandu membuat sekurang-kurangnya dua hentian pit di Monaco tahun ini, namun usaha berkenaan gagal menambah elemen dramatik dalam perlumbaan.

-- BERNAMA


#GP Monaco #F1 #Lando Norris #McLaren