NSAM cadang anjur dua kejohanan tempatan mantapkan skuad kebangsaan

Bernama
Ogos 27, 2020 20:19 MYT
NSAM akan membuat permohonan kepada Majlis Olimpik Malaysia supaya acara rifle berpasukan dipertandingkan pada Sukan SEA 2021. - Gambar hiasan
Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) bercadang menganjurkan dua kejohanan tempatan pada September dan November ini bagi memantapkan persediaan skuad negara menghadapi Sukan SEA 2021 di Vietnam.
Dua pertandingan berkenaan adalah Kejohanan Menembak Kebangsaan serta Kejohanan Trofi Tun Hanif. Kedua-dua kejohanan itu akan berlangsung di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di Subang.
Pengurus skuad negara, Datuk Musa Omar berkata badan induk itu masih belum menentukan tarikh sesuai untuk penganjuran kedua-dua kejohanan berkenaan memandangkan mereka perlu memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran pertandingan sebagaimana ditetapkan pihak berkuasa.
"Kita merancang mengadakan dua kejohanan berkenaan pada September dan November, namun jika tidak dapat diadakan pada bulan-bulan tersebut, kita mungkin mengadakan dua kejohanan itu pada Oktober dan Disember ini.
"Kalau boleh, biarlah ada jarak dua bulan bagi setiap kejohanan berkenaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja dengan wakil Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Musa memaklumkan NSAM akan membuat permohonan kepada Majlis Olimpik Malaysia supaya acara rifle berpasukan dipertandingkan pada Sukan SEA 2021.
Beliau mendakwa mendapat maklumat bahawa Vietnam tidak bercadang mempertandingkan acara rifle berpasukan pada Sukan SEA 2021, tetapi tidak memaklumkan punca utama negara tuan rumah berbuat demikian.
"Kekuatan (pasukan) kita adalah acara rifle berpasukan, dan sekiranya acara berkenaan tidak dipertandingkan, peluang kita untuk mendapat pingat emas akan berkurangan," jelas Musa.
Berdasarkan perancangan awal, Vietnam bercadang menganjurkan 36 jenis sukan pada Sukan SEA 2021 iaitu olahraga, akuatik (renang dan terjun), memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kanu, berbasikal (lebuh raya dan basikal bukit), sukan tarian, lawan pedang, bola sepak, golf, gimnastik, bola baling, bola tampar, judo, karate, mendayung, menembak, ping pong, taekwondo, tenis, angkat berat dan gusti.
Turut tersenarai acara snuker dan biliard, catur/xiangqi (catur China), futsal, Muay Thai, pencak silat, petanque, sepak takraw, renang sirip, bina badan, wushu, kurash, kickboxing dan vovinam (seni pertahan diri Vietnam).
Sukan SEA ke-31 dijadual berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis 2021 di Hanoi.
-- BERNAMA
#badminton #China #kejohanan menembak #Majlis Olimpik Malaysia #Majlis Sukan Negara #Musa Omar #NSAM #Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia #pingat emas #rifle berpasukan #SOP #Sukan SEA #Vietnam