PETALING JAYA: Atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif bersedia untuk mengorbankan sambutan Ramadan dan Aidilfitri di tanah air, dalam misi memburu kedudukan terbaik di Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Ia berikutan atlet berusia 26 tahun itu yang layak ke Paris sebagai pemenang pingat emas acara ILCA 6 wanita Sukan Asia Hangzhou, akan berkampung di Eropah bermula bulan depan untuk menyertai dua kejohanan utama dan kem latihan intensif bagi menghadapi cabaran di temasya terbesar dunia itu.

Selepas menduduki tempat ke-33 pada penampilan sulungnya ketika Olimpik Rio 2016 dan tempat ke-26 di Tokyo 2020, beliau bertekad untuk pulang dengan keputusan lebih baik pada kali ini.

Antara cabaran yang perlu dilaluinya ialah berpuasa ketika mengharungi latihan sukar di lautan bergelora, serta menyambut hari raya jauh daripada orang tersayang.

"Ketika berpuasa agak susah kerana kita berlatih di laut. Kalau matahari lambat (waktu siang panjang) dekat sana perit juga, tetapi kalau hari-hari jalani latihan, akan jadi biasa nanti," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, di sini, pada Isnin.

Nur Shazrin yang baru pulang dari Kejohanan Senior Eropah ILCA 2024 dan Piala Eropah Terbuka di Athens, Greece, akan meneruskan latihan selama tiga minggu di tanah air, sebelum bertolak ke Palma, Mallorca di Sepanyol untuk latihan, diikuti Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis dari 18 hingga 27 April ini, dan terus berpangkalan di Eropah hingga Olimpik.

"Last Chance Regatta, mempunyai dua pertandingan, iaitu untuk mereka yang dah layak dan belum layak. Ia akan memberi peluang untuk menguji tahap saya, serta menilai pencabar yang lain, jadi boleh mengenal pasti apa yang perlu diperbaiki menjelang Olimpik," katanya.

Beliau yang sedar bahawa belum berada dalam tahap terbaik untuk disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) berharap disediakan ahli fisioterapi untuk membantunya meneruskan rehabilisasi ketika menyertai kejohanan dan latihan di luar negara, selepas mengalami kecederaan saraf ulnar di tangan kanan pada awal tahun lepas.

Pelayar berasal dari Pahang itu berkata, keadaan berkenaan memerlukan beliau meneruskan fisioterapi sepanjang masa bagi mengurangkan kesakitan, yang berisiko membuat beliau tidak boleh menggerakkan tangannya.

Sementara itu, jurulatih sukan pelayaran Julia Martins yang baru memulakan khidmatnya kira-kira dua minggu lepas berkata beliau akan menumpukan terhadap meningkatkan kecergasan dan ketahanan Nur Shazrin semasa latihan selama tiga minggu di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Pulau Langkawi.

"Ini cabaran yang sengit, jadi kami perlu meningkatkan sedikit kecergasan. Kami akan jalani latihan berhadapan dengan angin di Malaysia, dan latihan di gim serta berbasikal sebelum berlepas ke Palma.

"Semasa Olimpik, kami jangkakan keadaan angin kencang dan bergelombang, sebab itu kami merancang untuk menjalani latihan di Eropah terutama di Palma yang lebih kurang dengan Marseille, Perancis venue bagi sukan pelayaran," katanya. - BERNAMA