Ole Gunnar Solskjaer semakin hampir kembali ke Manchester United

Manchester United dilaporkan semakin hampir melantik semula Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus interim. - Gambar Reuters
MANCHESTER United dilaporkan semakin hampir melantik semula Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus interim selepas rundingan positif antara kedua-dua pihak berjalan lancar.
Seperti didedahkan sebelum ini, Solskjaer berminat untuk kembali ke Old Trafford dan kini muncul sebagai calon utama bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Perbincangan berada pada tahap lanjut dan tiada isu berkaitan tempoh kontrak, dengan bekas pengurus United itu dilaporkan bersedia untuk menerima tawaran sekiranya dimuktamadkan.
Pakar perpindahan terkenal, Fabrizio Romano mengesahkan bahawa Manchester United kini “semakin dekat” untuk melantik pengganti kepada Ruben Amorim, yang dipecat pada Isnin lalu.
United bergerak pantas selepas keputusan memecat Amorim dibuat, susulan prestasi hambar pasukan sepanjang 14 bulan kebelakangan ini serta konflik yang dilaporkan berlaku antara Amorim dan pengarah bola sepak kelab, Jason Wilcox.
Keadaan tersebut dianggap sudah tidak dapat dipulihkan oleh pengurusan kelab.
Buat masa ini, Manchester United merancang untuk melantik pengurus interim sehingga tamat musim sebelum membuat pelantikan tetap apabila calon yang lebih kukuh tersedia pada musim panas nanti.
Beberapa nama telah dikaitkan untuk peranan jangka pendek, termasuk Darren Fletcher, Michael Carrick dan Ruud van Nistelrooy.
Namun, Solskjaer kini dilihat sebagai pilihan paling realistik untuk memimpin pasukan bagi beberapa bulan akan datang.
Dalam satu temu bual bersama BBC Sport pada November 2025, Solskjaer mengimbas kembali cabaran besar yang dihadapinya ketika mengendalikan Manchester United, terutamanya ketika Manchester City dan Liverpool berada di kemuncak prestasi masing-masing.
“Ia adalah tempoh paling sukar untuk menjadi pengurus Manchester United. Ketika itu, Jürgen Klopp dan Pep Guardiola mengendalikan dua pasukan terbaik di dunia. Namun kami masih berjaya menamatkan musim di tempat kedua dan ketiga,” katanya.
Beliau turut menegaskan, tekanan sebagai pengurus United adalah satu keistimewaan, bukan bebanan.
“Tekanan itu satu keistimewaan. Saya berasa bertuah diberi peluang memimpin kelab ini. Tetapi di Manchester United, keputusan adalah segalanya. Kami melalui tempoh enam minggu yang sangat buruk dan itu terlalu lama untuk sebuah kelab sebesar ini,” jelas Solskjaer.
Buat sementara waktu, Darren Fletcher telah diletakkan sebagai pengendali pasukan sekurang-kurangnya untuk minggu ini.
Namun, perancangan utama kelab adalah untuk mendapatkan pengurus yang mampu menstabilkan pasukan sehingga penghujung musim.
Bagi pelantikan tetap, beberapa nama mula diperkatakan termasuk pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner, serta Enzo Maresca yang kini berstatus bebas.
Sementara itu, Michael Carrick turut disebut sebagai calon bagi peranan interim, mengulangi peranannya pada tahun 2021 sebelum Ralf Rangnick dilantik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


