Olimpik Musim Sejuk: ITA sahkan Valieva positif bahan terlarang

Astro Arena
Februari 12, 2022 02:15 MYT
Aksi Kamila Valieva ketika mengambil bahagian dalam acara luncur ais pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing, 7 Feb, 2022. (Foto AP)
ATLET luncur ais Rusia, Kamila Valieva, diuji positif ujian dadah bulan lalu, demikian disahkan Agensi Ujian Antarabangsa (ITA).
Atlet berusia 15 tahun itu membantu pasukan luncur ais Jawatankuasa Olimpik Rusia memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di China, Isnin lalu.
Pingat dalam acara itu kemudian tidak disampaikan berikutan "isu perundangan".
Valieva diuji positif mengambil trimetazidine -- sejenis ubatan untuk mencegah serangan angina, di mana ia merupakan bahan yang berada dalam senarai terlarang Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) kerana mampu meningkatkan aliran darah ke jantung -- berdasarkan sampel yang diambil dalam Kejohanan Kebangsaan Rusia sewaktu Hari Krismas.
Keputusan positif itu disahkan Selasa lalu, sehari selepas dia beraksi di Beijing, sekali gus menyaksikan baki penyertaannya dalam temasya itu menjadi persoalan.
Agensi Anti-Doping Rusia (RUSADA) telah menarik penggantungan sementara buat atlet itu pada Rabu lalu bagi membenarkannya untuk terus beraksi di ibu kota China berkenaan -- apa yang disifatkan ITA sebagai "keputusan bersebab" yang masih belum didedahkan.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) da ITA telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kini bersedia untuk membuat satu keputusan pantas mengenai kes berkenaan sebelum Valieva beraksi dalam acara individu Selasa ini.
Kes ini menjadi rumit disebabkan umur Valieva, di mana dalam peraturan WADA, setiap peserta di bawah umur 16 tahun dianggap "orang yang dilindungi" dan nama atlet yang terlibat tidak boleh didedahkan.
Akan tetapi, ITA memberikan sebab mengapa mereka mendedahkan perkara itu kepada umum dengan berkata dalam satu kenyataan: "Melihat kepada situasi di mana sesetengah media tidak memberikannya perlindungan yang sama dan telah melaporkan secara meluas berdasarkan informasi tidak rasmi berikutan penangguhan penyampaian pingat acara luncur ais berpasukan dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, ITA menyedari keperluan untuk memberikan maklumat rasmi berdasarkan minat masyarakat yang kian tinggi."
Valieva, yang muncul peluncur wanita pertama berhasil melakukan lompatan quadruple dalam temasya itu, merupakan peserta pilihan untuk merangkul pingat emas dalam acara individu.
#Kamila Valieva #Sukan Olimpik Musim Sejuk #bahan terlarang #atlet luncur ais Rusia