KUALA LUMPUR: Pakar psikologi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Frederick Tan bakal memperkenalkan program baharu yang direka khas untuk membantu persiapan pemain ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Frederick berkata beliau akan memulakan program baharu itu selepas berakhirnya kejohanan Terbuka Indonesia yang dijadualkan berlangsung di Jakarta dari 4 hingga 9 Jun.

Tanpa mendedahkan secara terperinci program itu, Frederick berkata beliau akan bekerjasama dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky untuk memperhalusi butiran program berkenaan sebelum melaksanakannya.

"Sukan Olimpik berbeza sama sekali dengan Piala Thomas dan Uber, Sukan Asia, Sukan SEA mahupun Kejohanan Dunia. Oleh itu saya perlu merangka program baharu yang khusus bagi memenuhi keperluan pemain untuk Paris 2024.

"Program ini akan dilaksanakan selepas Terbuka Indonesia sehingga pemain bertolak ke Paris," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Frederick berharap program itu nanti akan membuahkan hasil positif seperti inisiatif dilaksanakannya ketika Piala Thomas 2024 di Chengdu, China baru-baru ini.

Semasa kejohanan itu Frederick memberikan kata-kata perangsang pada setiap malam dan mengedarkan nota galakan ke bilik setiap pemain bagi menaikkan semangat mereka.

"Saya dapat rasakan ada perubahan dari segi semangat berpasukan dalam Piala Thomas. Nampaknya mereka benar-benar suka dengan program saya," katanya.

Skuad negara berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Thomas pertama mereka dalam tempoh lapan tahun selepas menewaskan juara 2014, Jepun, 3-1 pada aksi suku akhir.

Bagaimanapun perjalanan Malaysia terhenti di separuh akhir apabila tewas kepada China 1-3 sebelum tuan rumah muncul juara Piala Thomas 2024.

Malaysia memulakan aksi Kumpulan D Piala Thomas dengan kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong dan Algeria namun gagal menduduki tangga teratas kumpulan selepas tewas 2-3 kepada juara 2016, Denmark.

-- BERNAMA