SUKAN

One Championship: Johan Ghazali tewas kali kedua menerusi keputusan juri

Astro Arena 07/06/2025 | 05:10 MYT
Jojo kekal dengan rekod enam kemenangan sepanjang bertempur dalam One Championship. - Gambar/ Stadium Astro
JAGUH Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar, terpaksa akur dengan kekalahan ketiga selepas tewas kepada petarung berdarah Colombia-Amerika Syarikat, Diego Paez, dalam One Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, hari ini.

Paez, 31, yang sudah mempelajari Muay Thai sejak berusia 15 tahun tidak melepasi peringkat 'ujian hidrasi' selepas dua kali melakukan percubaan semalam.

Paez kembali menemui rentak kemenangan susulan tewas kepada Sean Climaco, Februari lalu.

Paez yang mahir menggunakan kaki mengatur serangan dibalas dengan pukulan daripada Johan. Kedua-dua petinju itu melakukan pertahanan dengan sempurna.

Pusingan kedua menampilkan aksi agresif daripada Jojo untuk mengutip mata dan meraih perhatian penonton.

Memasuki pusingan ketiga, Jojo seperti menerima gangguan akibat kecederaan mata, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk kembali bertempur.

Selepas diambil kira keputusan juri, Paez memperoleh kemenangan menerusi pungutan mata 2-1.

Ia sekali gus, menyaksikan Jojo kekal dengan rekod enam kemenangan sepanjang bertempur dalam One Championship. - Stadium Astro






#Johan Ghazali #ONE Championship #Diego Paez #keputusan pertarungan