Ong Kim Swee mahu benam Filipina untuk baiki ranking

Bernama
Mac 10, 2017 05:49 MYT
ONG: Aksi menentang skuad 'The Azkals' itu sangat penting setelah tidak beraksi dalam perlawanan antarabangsa selama hampir empat bulan. - Bernama
Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menyasarkan untuk meningkatkan ranking skuadnya dengan membenam Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 22 Mac ini.
Selepas seri dalam empat pertemuan terakhir menentang Filipina sejak 2012, yang kini menduduki ranking dunia ke-124, Kim Swee harap kemenangan ke atas pasukan itu mampu melonjakkan ranking skuad Harimau Malaysia yang berada di tempat ke-161 dunia.
Perlawanan itu juga merupakan pemanas badan sebelum bertemu Korea Utara (121), dalam aksi sulung pusingan kelayakan terakhir Piala Asia 2019 pada 28 Mac ini.
Jurulatih berusia 47 tahun dari Melaka itu berkata, aksi menentang skuad 'The Azkals' itu sangat penting bagi pasukannya yang tidak beraksi dalam perlawanan antarabangsa selama hampir empat bulan, iaitu selepas tersingkir daripada peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2016 di Myanmar pada November tahun lepas.
"Rekod pertemuan dengan Filipina sering kali berakhir dengan keputusan seri. Jadi sudah tentu kali ini kita mahukan kemenangan tetapi ia bukan mudah kerana Filipina juga pasukan yang baik dan kedudukan ranking mereka jauh lebih baik daripada kita," Kim Swee dipetik berkata demikian dalam laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), www.fam.org.my, hari ini.
Mengenai senarai 23 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat bermula Isnin ini, beliau berkata majoriti pemain dikekalkan atas faktor persefahaman di antara pemain.
"Saya tak boleh melakukan terlalu banyak pertukaran pemain kerana jika kita tukar ramai sangat, kita perlu melakukan sesuatu yang lain dalam tempoh agak terhad ini. Jadi majoriti pemain dipanggil ini sudah memahami apa yang perlu kita lakukan.
"Muka baharu yang dipanggil pula adalah berdasarkan prestasi baik mereka dalam saingan liga seperti Farizal Harun, Akram Mahinan dan Afif Amiruddin," katanya.
Kim Swee dijangka menyertai kem latihan pusat pada Selasa, iaitu sehari lewat kerana masih berada di Melaka bagi urusan keluarga selepas bapanya meninggal dunia pada Selasa lepas.
Hari pertama kem latihan skuad Harimau Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya akan dikendalikan oleh penolong jurulatih kebangsaan, Brad Maloney.
-- BERNAMA
#bola sepak #FAM #Filipina #Harimau Malaysia #Ong Kim Swee