Pandelela, Jun Hoong raih gangsa dalam Siri Dunia FINA

Bernama
Mac 15, 2018 15:10 MYT
Pandelela dan Jun Hoong sememangnya gandingan mantap yang membawa rentak cemerlang dalam banyak kejohanan sebelum ini. - Gambar fail
Penerjun negara yang juga Olahragawati Kebangsaan 2017, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong Pamg meraih pingat gangsa pada pusingan kedua Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di Fuji, Jepun pada Khamis.
Gandingan penerjun negara itu mengumpul 310.32 mata selepas lima pusingan terjunan untuk menduduki tempat ketiga dalam acara 10m platform berirama wanita yang berlangsung di Kolam Renang Shizuoka Prefectural Fuji, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), www.fina.org.
Gergasi dunia acara terjun, China meneruskan penguasaan pada kejohanan itu apabila Zhang Minjie-Zhang Jiaqi berjaya mempertahankan pingat emas dimenangi mereka pada pusingan pertama di Beijing, selepas mengumpul 335.70 mata.
Sementara gandingan penerjun Korea Utara Kim Kuk Hyang dan Kim Mi Rae memenangi pingat perak setelah mencatat 311.58 mata.
Pasangan penerjun Malaysia itu meraih pingat perak dalam acara sama pada pusingan pertama di Beijing, minggu lepas.
Kedua-dua penerjun negara itu akan bersaing dalam acara 10m platform individu esok, manakala Nur Dhabitah Sabri akan beraksi dalam acara 3m papan anjal wanita pada Sabtu.
-- BERNAMA
#acara dunia #atlet negara #Cheong Jun Hoong #FINA #kejohanan #Malaysia #Pandelela Rinong #penerjun #Siri Dunia #terjun