Pandelela: MSN nafi laporan pegawai ISN tidak bantu atlet di Olimpik Tokyo

Bernama
April 4, 2023 10:35 MYT
MSN menegaskan sebagai pengendali Program Podium yang menaungi atlet elit seperti Pandelela, mereka bertanggungjawab terhadap semua aspek persiapan atlet. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Laporan akhbar yang memetik ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong sebagai berkata pegawai Institut Sukan Negara (ISN) tidak memberikan sokongan kepada atlet kebangsaan semasa Sukan Olimpik Tokyo 2020, adalah tidak benar.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ISN mempunyai empat pegawai yang berdaftar untuk memberikan perkhidmatan kepada kontinjen negara di perkampungan Sukan Olimpik Tokyo itu.
Menurut MSN empat pegawai berkenaan dibantu oleh sembilan lagi pegawai ISN yang ditempatkan di sekretariat luar kerana kekangan jumlah kad akreditasi seperti ditetapkan pihak penganjur, manakala jumlah pegawai MSN yang berdaftar bersama kontinjen negara ke Tokyo hanya seorang.
"Pihak MSN mengambil maklum penjelasan Pandelela bahawa laporan itu ditulis tidak mengikut apa yang dimaksudkan ketika beliau ditemu bual oleh wartawan akhbar berkenaan.
"Pandelela, menerusi ciapan di platform Twitter menegaskan beliau tidak menyebut apa-apa perkara seperti ditulis oleh wartawan akhbar berkenaan, khususnya membabitkan dakwaan terhadap pegawai MSN dan ISN," menurut kenyataan itu.
MSN turut menjelaskan wartawan akhbar tersebut juga tidak menghubungi mana-mana pegawai MSN untuk mendapatkan penjelasan sebenar berhubung kandungan berita yang telah disiarkan pada hari ini.
Sementara itu, MSN menegaskan sebagai pengendali Program Podium yang menaungi atlet elit seperti Pandelela, mereka bertanggungjawab terhadap semua aspek persiapan atlet termasuk penyertaan ke kejohanan antarabangsa, selain menyediakan keperluan penting yang bersesuaian untuk atlet.
"Khidmat perubatan dan sains sukan pula menjadi tanggungjawab ISN yang menerima peruntukan RM10 juta setahun daripada bajet Program Podium untuk tujuan berkenaan.
"Khidmat ini termasuk menyediakan pakar dan petugas untuk membantu atlet elit negara, baik ketika menjalani latihan dan persiapan mahupun setiap kali mereka menyertai pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Pandelela Rinong #Sukan Olimpik Tokyo #pegawai ISN #MSN