[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
SUKAN

Paris berpesta PSG raih trofi UCL sebelum kekecohan tercetus

Agensi 01/06/2025 | 00:15 MYT
Kekecohan tercetus ketika kota Paris meraikan PSG yang merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama, menewaskan Inter Milan 5–0 dalam aksi final. - Gambar Reuters
PARIS: Seluruh kota Paris berpesta malam tadi selepas kelab Paris Saint-Germain (PSG) mencatat sejarah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dengan menewaskan Inter Milan.

Namun, kegembiraan itu tercemar seketika susulan tercetusnya kekecohan antara penyokong dan pihak berkuasa.

Di sepanjang Champs-Elysees, suasana bertukar tegang apabila beberapa perhentian bas dirosakkan dan objek dibaling ke arah pasukan polis.

Pasukan keselamatan bertindak balas dengan menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan ribuan penyokong yang membanjiri laluan ikonik tersebut.

Insiden turut dilaporkan di kawasan lebuh raya sekitar Paris, termasuk pembakaran sekurang-kurangnya dua buah kenderaan berhampiran Stadium Parc des Princes.

Di dalam stadium yang ditukar menjadi zon khas tontonan, lebih 48,000 penyokong bersorak sebaik sahaja wisel penamat ditiup di Munich.

“Euforia sepenuhnya, suasana luar biasa,” kata Gilles Gailliot, seorang penyokong yang menonton perlawanan dari stadium di Paris.

“Ia berbaloi dengan penantian dan kekecewaan selama bertahun-tahun. Akhirnya Paris dan penyokongnya diberi ganjaran,” tambahnya.



Bunga api dinyalakan dan kenderaan bergerak sambil penyokong melambai skaf PSG – meraikan kejayaan pertama kelab itu dalam saingan tertinggi bola sepak Eropah.

Menara Eiffel turut disinari warna biru dan merah, warna kebanggaan PSG.

“Saya tak pernah bayangkan malam seindah ini,” kata Amine, 18 tahun.

“Tapi kita jangan lupa Mbappe,” katanya, merujuk kepada Kylian Mbappe yang meninggalkan PSG tahun lalu untuk menyertai Real Madrid demi mengejar kejuaraan Eropah.

Rusuhan dan tahanan

Seramai 5,400 anggota polis dikerah di sekitar Paris menjangkakan sambutan yang luar biasa.
Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau menyeru pendekatan sifar toleransi dalam mengekalkan ketenteraman awam.

“Penyokong sejati PSG menikmati kemenangan hebat pasukan mereka. Malangnya, ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah dan mencabar pihak berkuasa,” ciapnya di media sosial.

Sehingga selepas tengah malam, lebih 130 tangkapan telah dibuat.

Pemain tengah PSG, Ousmane Dembele merayu penyokong agar menyambut kejayaan ini secara aman.

“Mari kita raikan kemenangan ini tanpa merosakkan Paris,” katanya kepada saluran Canal+.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang diketahui peminat tegar Olympique de Marseille turut mengucapkan tahniah menerusi ciapan: “Hari yang gemilang untuk PSG! Tahniah, kami semua berbangga. Malam ini, Paris adalah ibu kota Eropah.”

Pejabat Presiden memaklumkan, Macron akan menyambut pemain-pemain PSG di Istana Elysee pada Ahad dan pasukan juga dijangka mengadakan perarakan di Champs-Elysees.

PSG sebelum ini tewas kepada Bayern Munich dalam perlawanan akhir 2020 dan hampir tersingkir pada peringkat awal musim ini sebelum bangkit dan menjulang trofi yang menjadi idaman pemilik kelab dari Qatar itu.

Penyokong turut memuji aksi cemerlang pemain muda, Desire Doue yang menjaringkan dua gol, serta pengurus Luis Enrique.

“Apa yang Doue buat malam ini luar biasa. Tapi semua ini kerana Luis Enrique - dia datang dan ubah segalanya,” kata seorang penyokong, Francis Delert. - Reuters






#PSG #inter milan #UCL #Paris berpesta