KYLIAN Mbappe memohon maaf atas kegagalannya dalam penentuan sepakan penalti yang mengakibatkan Perancis tersingkir daripada Euro 2020 di tangan Switzerland awal pagi tadi dengan pemain bintang berkenaan mengakui akan sukar untuk tidur selepas ini.

Sepakan penalti Mbappe diselamatkan penjaga gol, Yann Sommer, untuk membolehkan Switzerland mara ke suku akhir hasil kemenangan 5-4 dalam penentuan itu selepas perlawanan terikat 3-3 dalam waktu sebenar.

France mendahului 3-1 berbaki 15 minit masa sebenar selepas ketinggalan di belakang Switzerland dalam babak pertama di Bucharest, di mana Perancis di ambang kemenangan menerusi gol berganda Karim Benzema dan jaringan gemilang Paul Pogba dari luar kotak penalti.

Switzerland, yang terlepas peluang untuk mendahului 2-0 selepas sepakan penalti Ricardo Rodriguez diselamatkan dalam babak kedua, mencipta sensasi apabila mengheret perlawanan ke masa tambahan hasil gol kedua Haris Seferovic dan jaringan saat akhir Mario Gavranovic.

Mbappe dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan penalti terakhir Perancis tetapi rembatannya ditolak keluar Sommer untuk Perancis gagal ke suku akhir kejohanan utama buat kali pertama sejak Piala Dunia 2010.

"Amat sukar untuk melupakannya," kata Mbappe -- yang merekodkan paling banyak percubaan tanpa menjaringkan gol (14) dalam Euro 2020 -- dalam satu kiriman Instagram.

"Kesedihannya memuncak selepas penyingkiran ini, kami tidak dapat mencapai sasaran kami.

"Saya memohon maaf atas sepakan penalti itu. Saya mahu membantu pasukan tetapi saya gagal. Ia pasti akan sukar untuk melelapkan mata tetapi dukacitanya, ini adalah risiko dalam sukan yang saya amat cintai ini.
"Saya tahu peminat semua kecewa tetapi saya mahu berterima kasih kepada anda semua atas sokongan dan sentiasa mempercayai kami.

"Perkara paling penting adalah kami akan bangkit menjadi lebih kuat untuk cabaran yang akan datang.
"Tahniah dan selamat berjaya buat Switzerland," katanya.