Paul Scholes kongsi mesej menyentuh hati selepas undur diri demi anak autistik

Perbualan terbuka Scholes itu disifatkan kumpulan The Overlap sebagai antara perbualan paling jujur dan menyentuh yang pernah mereka rakam. - Foto Paul Scholes & The Overlap
BEKAS bintang tengah Manchester United, Paul Scholes, berkongsi mesej yang begitu menyentuh hati selepas mengumumkan keputusan untuk mengundurkan diri daripada kerja pundit (penganalisis) bola sepak bagi memberi tumpuan kepada anak lelakinya yang autistik, Aiden.
Ringkasan AI
- Paul Scholes berundur daripada kerja pundit bola sepak untuk memberi tumpuan kepada anak lelakinya, Aiden, yang autistik, demi keseimbangan hidup sebagai bapa tunggal.
- Beliau berkongsi pengalaman peribadi menyentuh hati dalam podcast Stick to Football, termasuk cabaran menjaga Aiden sejak zaman bermain bola dan kesan gangguan rutin terhadap anaknya.
- Scholes kekal aktif melalui podcast baharu bersama Nicky Butt dan Paddy McGuinness, dengan jadual kerja yang disusun mengikut keperluan Aiden, sambil menyeru lebih banyak perbincangan terbuka tentang keibubapaan anak autistik.
“Segala yang saya lakukan kini berpusat pada dirinya. Saya masih buat kerja studio, tapi semuanya disusun mengikut rutin harian Aiden. Musim lalu, setiap malam Khamis saya akan buat liputan Liga Europa tapi itu sebenarnya malam saya bersama dia. Dia jadi resah, menggigit dan mencakar… dia tahu rutinnya terganggu.”
Perbualan terbuka itu disifatkan pasukan The Overlap sebagai “antara perbualan paling jujur dan menyentuh yang pernah kami rakam”.
Selepas episod tersebut disiarkan, Scholes menulis di Instagram bagi mengucapkan terima kasih atas limpahan sokongan yang diterimanya. Beliau turut berkongsi satu mesej yang amat menyentuh perasaan:
“Terima kasih kepada semua atas mesej baik hati selepas temu bual di The Overlap mengenai Aiden. Saya cuba baca sebanyak mungkin, dan respons daripada keluarga lain (terutama para bapa) menunjukkan betapa pentingnya kita bercakap tentang hal ini.
"Ada satu mesej daripada seorang ibu bapa yang benar-benar menyentuh saya, katanya:
‘Tugas saya adalah untuk terus hidup sehari lebih lama daripada anak saya’.”
Scholes menambah dengan nada lebih ringan:
“Apa pun, hujung minggu dah tiba masa untuk bersantai, minum sedikit dan tonton bola... ayuh Salford!”
Walaupun meninggalkan siaran langsung TV, Scholes tidak sepenuhnya menjauh dari dunia bola sepak. Musim ini, beliau melancarkan podcast baharu bertajuk The Good, The Bad and The Football bersama Nicky Butt dan pelawak Paddy McGuinness, dengan jadual kerja yang disusun sepenuhnya mengikut keperluan Aiden.
Dalam temu bual di The Overlap, Scholes turut mendedahkan bahawa beliau merahsiakan diagnosis anaknya sepanjang karier bermainnya bersama United.
“Saya tak pernah berehat daripadanya, walaupun ketika bermain. Ia amat sukar pada waktu itu,” katanya.
“Aiden disahkan autistik ketika berusia dua tahun setengah, tapi sejak awal kami dah tahu ada sesuatu yang berbeza.
"Saya masih ingat, selepas dapat tahu, kami ada perlawanan menentang Derby di tempat lawan dan saya langsung tak rasa mahu bermain.
"Seminggu kemudian, pengurus menggugurkan saya, dan saya masih belum beritahu sesiapa. Akhirnya saya ceritakan beberapa minggu selepas itu, sebab ia terlalu berat untuk disimpan.”
Keputusan Scholes untuk berundur dari dunia penyiaran demi keluarga bukan sekadar langkah peribadi, tetapi juga membuka ruang penting bagi perbincangan tentang cabaran sebenar ibu bapa yang membesarkan anak autistik di luar sorotan kamera dan glamor dunia bola sepak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


