KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh percaya pasangan beregu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah mampu menangani apa jua isu yang timbul sekiranya berlaku perselisihan faham antara mereka.

Beliau berkata sebagai pemain badminton berpengalaman yang turut berada dalam program Road to Gold (RTG), pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu pastinya mampu mengatasi sebarang cabaran.

"Saya belum mengikuti apa-apa laporan mengenai mereka. Saya rasa tiada masalah buat mereka, kerana bukan pemain badminton yang baharu, mereka dah lama bergandingan," katanya kepada Bernama semasa Sambutan Deepavali dan Malam Kebudayaan Parlimen Segambut di sini, malam tadi.

Sebelum ini, penyokong badminton negara mencipta spekulasi di media sosial bahawa Pearly-Thinaah bergaduh selepas mereka dilihat tidak berkomunikasi ketika tewas kepada Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan pada pusingan pertama China Masters, Rabu lepas.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dilaporkan akan bertemu kedua-dua atlet itu dan jurulatih beregu wanita Hoon Thien How, sekiranya benar timbul masalah antara mereka bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Sementara itu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata kebanyakan peruntukan bagi kawasannya digunakan untuk membaik pulih dan menaik taraf sekolah demi keselesaan pelajar, antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Segambut dengan peruntukan RM69,000 dan SJK (T) Ladang Edinburgh diberi RM163,000.

-- BERNAMA