SPORTS
Pearly-Thinaah juara Terbuka Thailand
Pearly (kanan) dan Thinaah muncul juara Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan Korea Selatan dalam aksi final di Bangkok pada Ahad. -Foto Sinar Harian/Agensi
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meraih gelaran pertama pada musim ini apabila muncul juara kejohanan berstatus Super 500 Terbuka Thailand di Bangkok sebentar tadi.
Ringkasan AI
- Beregu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah menjuarai Terbuka Thailand 2025 (Super 500) selepas menewaskan pasangan Korea Selatan Jeong Na-eun dan Lee Yeon-woo dengan kemenangan 2-0.
- Kemenangan ini merupakan gelaran pertama mereka musim ini dan menjadi motivasi menjelang saingan Masters Malaysia yang akan berlangsung di Bukit Jalil.
- Pasangan ini membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM161,191), sementara lawan mereka menerima AS$18,050 (RM77,535), menjadikan ini final kedua mereka tahun ini selepas naib juara di Masters Indonesia.
Pasangan berstatus keempat dunia itu melakar kejayaan tersebut selepas menumpaskan gandingan baharu, Jeong Na-eun dan Lee Yeon-woo yang menghuni ranking ke-105 dunia.
Kemenangan 2-0 ke atas gandingan Korea Selatan itu menjadi tonik tambahan buat pasangan negara yang bakal menggalas cabaran Malaysia dalam saingan Masters Malaysia di Bukit Jalil bermula Selasa ini.
Biarpun ditentang hebat gandingan dari negara Kimchi itu, Pearly-Thinaah yang dibimbing Rosman Razak tenang mengawal gelanggang untuk menang 21-16 pada set pertama.
Na-eun dan Yeon-woo kemudian memperkemaskan corak pemainan, namun pengalaman memisahkan Pearly-Thinaah yang mengesahkan kemenangan 21-17 dalam masa 57 minit permainan.
Menerusi kejayaan tersebut, pasangan negara yang dikaitkan dengan kemelut berkaitan kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu membawa pulang AS$37,525 (RM161,191), manakala pasangan Korea Selatan pula meraih AS$18,050 (RM77,535).
Sebagai rekod, ia merupakan pentas final kedua buat Pearly-Thinaah selepas muncul naib juara Masters Indonesia awal tahun ini. -Sinar Harian