KUALA LUMPUR: Barisan pegawai pasukan Terengganu FC (TFC) dikenakan hukuman denda RM20,000 akibat berkelakuan tidak wajar terhadap pegawai perlawanan pada aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Mac lepas.

Mereka melanggar Artikel 54 (b) Kod Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didapati mengugut serta mengganggu kumpulan pengadil semasa dan selepas perlawanan sehingga memerlukan campur tangan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pegawai pasukan Terengganu FC juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama. Keputusan ini boleh dirayu," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Che Mokhtar Che Ali dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, pengurus pasukan TFC Zul Fadli Rozi dan seorang pegawai pasukan Mohd Shukri Che Zakaria pula masing-masing didenda RM10,000 dan RM5,000 akibat melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan tidak bersemangat kesukanan pada perlawanan sama.

Zul Fadli turut menerima hukuman penggantungan empat perlawanan sementara Mohd Shukri digantung dua perlawanan bermula dengan aksi Liga Super menentang Penang FC esok.

Sementara itu, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dikenakan hukuman penggantungan empat perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik dan didenda RM10,000 susulan kad merah yang diterimanya pada aksi Liga Super menentang TFC pada 9 April lepas.

Mohd Fadzrul yang telah menjalani penggantungan perlawanan pertamanya ketika berdepan Perak FC sebelum ini, melanggar Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM selepas didapati berkelakuan ganas dengan menolak pegawai perlawanan pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pemain pertahanan KDA FC Rodney Celvin Akwensivie turut menerima nasib sama apabila digantung dua perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik iaitu aksi berdepan Perak FC sebelum ini, ekoran kad merah dikutipnya pada perlawanan menentang TFC pada 9 April lalu.

Rodney didapati melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan pada pertembungan tersebut.

Jawatankuasa Tatatertib FAM turut berkata hanya kes melibatkan Rodney tidak boleh dirayu, sementara empat lagi kes dibenarkan membuat rayuan.

Untuk rekod, Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini mengenakan denda dan hukuman penggantungan kepada pemain dan pegawai perlawanan yang melakukan kesalahan dalam saingan Liga-M.

-- BERNAMA