KUALA LUMPUR: Selepas minggu ketiga perlawanan Liga Super, pelaksanaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dilihat berjalan lancar dengan pengadil yang ditugaskan telah mengikut protokol ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram berkata perkara itu dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan semalam berhubung keadaan semasa pelaksanaan teknologi VAR dalam Liga Malaysia (Liga-M) iaitu bagi saingan Liga Super musim 2024/2025.

"FAM sangat mengambil berat tentang prestasi pengadil dan kepatuhan terhadap Protokol VAR FIFA dan Undang-undang Permainan FIFA 2024/2025. Untuk itu, setiap langkah dan keputusan yang dibuat adalah selaras dengan ketetapan yang disebut dalam Protokol VAR dan platform Program Pelaksanaan Bantuan dan Kelulusan (IAAP).

"Jawatankuasa Pengadil FAM juga akan terus memantau prestasi pengadil di Liga-M terutama perlawanan yang menggunakan VAR, selain telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan prestasi pengadil akan terus kekal pada tahap optimum," katanya dalam kenyataan FAM hari ini.

Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM berkata pihaknya menggariskan lima langkah proaktif iaitu Data Analisa Perlawanan VAR, Program Kenali VAR FAM, 'Batch kedua' Latihan VAR, VAR di Sabah dan Analisa Pasca Perlawanan dan Pra Perlawanan.

Bagi Data Analisa Perlawanan VAR, beliau berkata Unit Pengadil FAM telah membuat analisa prestasi bagi 15 aksi yang menggunakan VAR sejak minggu pertama perlawanan dan berdasarkan analisa tersebut, sebanyak 11 On Field Review (OFR) telah dilakukan dengan purata OFR 0.73 satu perlawanan.

"Angka ini menunjukkan keberadaan semasa pemahaman protokol VAR yang dimiliki oleh pengadil-pengadil di Liga-M," katanya.

Bagi langkah 'Batch kedua' Latihan VAR, beliau berkata FAM telah memulakan latihan VAR untuk kumpulan kedua bagi menambah bilangan pengadil VAR dengan fasa latihan dijadual bermula pada Ogos hingga Disember depan.

Menurutnya seramai 15 pengadil, 15 penolong pengadil dan 10 Replay Operator akan dilatih sebagai pengadil VAR.

Sementara itu bagi VAR di Sabah, Sivasundaram berkata FAM akan membuat satu fasa latihan dari 6 hingga 10 Jun depan dengan menggunakan teknologi VAR Goal Sport bagi membolehkan ia digunakan pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

-- BERNAMA