Peluang Leong Mun Yee ke Olimpik Rio makin tipis

Astro Arena
Mac 30, 2016 09:39 MYT
Peluang Mun Yee untuk beraksi di Olimpik Rio masih dalam perbincangan. - Gambar fail/Bernama

PELUANG penerjun negara Leong Mun Yee untuk membuat penampilan terakhir Sukan Olimpik Rio 2016 semakin tipis apabila ketua jurulatih, Yang Zhuliang menyifatkan beliau sudah terlalu berusia untuk beraksi dalam 10m platform terjun seirama.

Zhuliang dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) masih berbincang untuk menentukan siapakah yang akan ke Rio.

Acara terjun meraih tujuh slot ke Olimpik dan penerjun negara sedang bersaing sengit untuk meyakinkan Zhuliang serta ASUM. Namun bagi Mun Yee, cabaran lebih sukar kerana dia sudah mencapai usia 32 tahun.

"Sangat sukar. Acara seirama kini sangat kompetitif, dan usia Mun Yee yang semakin meningkat membatas dirinya untuk hasil terjunan yang baik," kata Zhuliang.
Gandingan Pandelela Rinong/Cheong Jun Hoong dalam 10m platform terjun seirama cemerlang apabila raih pingat perak Siri Piala Dunia di Rio, bulan lalu.
Kejohanan itu disertai penerjun terbaik dunia sekali gus antara prospek terbaik negara raih pingat di temasya itu. Ia sekali gus menyempitkan peluang Mun Yee, membuat penampilan kelima olimpik.
Bekas ratu terjun negara ini sepatutnya berpeluang cipta sejarah atlet paling banyak mewakili negara di Olimpik sejak membuat penampilan sulung di Sydney 2000.
#ketua jurulatih Yang Zhuliang #Leong Mun Yee #Olimpik Rio #penerjun negara