Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
SUKAN

Pelumba Moto3 Dettwiler dalam keadaan stabil tetapi kritikal di hospital KL

Bernama 27/10/2025 | 15:55 MYT
Pelumba Moto3 Switzerland, Noah Dettwiler masih berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Kuala Lumpur selepas terlibat dalam kemalangan sebelum perlumbaan kelas Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia. - Foto Instagram/CIP Green Power
BERLIN: Pelumba Moto3 Switzerland, Noah Dettwiler masih berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Kuala Lumpur selepas terlibat dalam kemalangan sebelum perlumbaan kelas Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia, menurut pasukannya CIP Green Power pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Noah telah menjalani beberapa pembedahan dalam beberapa jam terakhir dan semuanya berjalan lancar. Menurut doktor yang merawatnya, keadaannya kini stabil tetapi masih kritikal," menurut CIP Green Power di Instagram dalam satu kenyataan bersama keluarga dan pengurusannya.

"Kami menghargai kefahaman semua pihak dan memohon agar privasi Noah serta keluarganya dihormati. Terima kasih semua atas sokongan dan ucapan yang luar biasa," menurut kenyataan itu lagi.

Pelumba berusia 20 tahun itu dilaporkan sedang bergerak perlahan di Litar Sepang akibat kemungkinan masalah teknikal sebelum perlumbaan Ahad bermula, apabila beliau dilanggar dari belakang oleh juara dunia Sepanyol, Jose Antonio Rueda yang menunggang pada kelajuan tinggi, menurut rakaman televisyen.

Kedua-dua pelumba menerima rawatan di lokasi selama 45 minit sebelum dibawa ke hospital dengan helikopter.

Bapa Dettwiler, Andy Dettwiler memberitahu akhbar Switzerland Blick bahawa anaknya mengalami beberapa serangan jantung dan kehilangan banyak darah. Limpa dan paru-parunya turut terjejas selain mengalami fraktur terbuka pada kaki.

Pihak MotoGP dalam hantaran di platform X memaklumkan bahawa Rueda sedar dan responsif, serta disyaki mengalami patah tangan dan lebam pelbagai bahagian badan.

Pasukan Red Bull KTM Ajo yang diwakili Rueda turut mendoakan Dettwiler cepat sembuh pada Ahad, dengan menyatakan: "Kami ingin menyampaikan ucapan terbaik buat Noah, keluarganya dan semua anggota pasukan CIP Green Power. Semoga cepat sembuh, kawan."

-- BERNAMA



#Noah Dettwiler #pelumba Moto3 #kritikal #hospital di Kuala Lumpur