Pemain badminton negara akan kembali turun berlatih di gelanggang hari ini selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif COVID-19 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan kebenaran latihan itu disambung semula.

Pendekatan latihan berasaskan kuarantin dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) akan dilaksanakan di pusat kecemerlangan badminton negara.

"Ia akan membenarkan atlet kami kembali ke gelanggang dalam satu persekitaran yang terkawal dan selamat seperti yang diarahkan pihak berkuasa kesihatan," menurut BAM dalam satu kenyataan hari ini.

BAM juga menzahirkan penghargaan kepada KKM, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang bekerja keras bagi memastikan program latihan badminton negara berjalan semula.

Enam pemain di ABM disahkan positif COVID-19 pada 17 April dan pada 23 April BAM mendapati lapan lagi pemain pelapis disahkan positif jangkitan virus dalam saringan pada 20 April dan seorang lagi positif dalam saringan Sabtu lepas.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh ketika dihubungi berkata enam pemain dalam kumpulan pertama dijangkiti virus itu telah didiscaj daripada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan kembali ke kediaman masing-masing.

Skuad badminton negara sedang dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo Julai ini, selain beberapa kejohanan seperti Terbuka Malaysia dari 25 hingga 30 Mei dan Terbuka Singapura dari 1 hingga 6 Jun untuk mendapatkan mata kelayakan ke temasya sukan dunia itu

-- BERNAMA