SUKAN

Pemain Malaysia lebih berkemahiran berbanding China - Kim Wai

Bernama 04/11/2025 | 05:20 MYT
Baru sahaja kembali menyertai barisan kejurulatihan BAM, Kim Wai (gambar) mengakui beliau memerlukan masa untuk mengenali gaya dan karakter setiap pemain sebelum membuat penilaian lanjut. - Foto Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Penolong jurulatih beregu lelaki kebangsaan yang baru dilantik Chang Kim Wai percaya bahawa pemain beregu Malaysia, mempunyai kemahiran lebih tinggi berbanding pemain-pemain China, yang lebih banyak bergantung kepada kelajuan dan kekuatan dalam permainan mereka.


Ringkasan AI
  • Chang Kim Wai percaya pemain beregu Malaysia mempunyai kemahiran lebih tinggi berbanding pemain China yang lebih bergantung kepada kelajuan dan kekuatan.
  • Jurulatih baru percaya Malaysia memiliki kelebihan dalam kemahiran dan kreativiti pemain badminton di gelanggang berbanding China.
  • Kim Wai menekankan bahawa tiada pasukan badminton yang dominan di peringkat dunia kini, memberi peluang kepada beregu Malaysia untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi.


Jurulatih berusia 49 tahun itu, yang baru pulang daripada tugasan kejurulatihan di wilayah Guangxi, China, berkata kedua-dua negara memiliki kelebihan tersendiri, namun kelebihan Malaysia terletak pada kemahiran dan kreativiti pemain di gelanggang.

"Menurut pandangan saya, pemain kita lebih berkemahiran dan mantap daripada China. Sewaktu latihan tadi, pergerakan mereka juga baik dengan pukulan yang kreatif.

"Pemain di China pula lebih banyak menggunakan kelajuan dan kekuatan dalam permainan mereka," katanya kepada pemberita pada hari pertama beliau memulakan tugas di sini, hari ini.

Baru sahaja kembali menyertai barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kim Wai mengakui beliau memerlukan masa untuk mengenali gaya dan karakter setiap pemain sebelum membuat penilaian lanjut.

Mengenai prospek beregu lelaki negara pada peringkat dunia, Chang Kim Wai berkata saingan kini semakin terbuka dan kompetitif, tanpa sebarang pasangan yang benar-benar mendominasi arena global.

"Sekarang tiada beregu yang sangat konsisten dan setiap kejohanan bergantung kepada beregu mana yang bermain dengan lebih baik.

"Jika dahulu, final dan naib juara hampir sama dua beregu setiap kali, sekarang tidak lagi. Memandangkan Malaysia mempunyai beberapa beregu lelaki dalam kelompok 10 terbaik dunia, peluang untuk merangkul kejuaraan lebih tinggi," katanya.

Ketika ini, terdapat empat beregu lelaki Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik dunia iaitu bekas juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik (kedua); Man Wei Chong-Tee Kai Wun (kelima); Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (ketujuh); dan Wan Junaidi Wan Arif-Yap Roy King (kesepuluh).

Kim Wai akan bekerjasama dengan Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Herry Iman Pierngadi, serta Miftakh, bagi terus memperkukuh bahagian beregu lelaki negara.

Untuk rekod, bekas pemain kebangsaan itu pernah meraih pingat perak Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2002, serta menjadi anggota skuad Piala Thomas 2002 yang turut menamatkan saingan dengan pingat perak.

-- BERNAMA

#badminton #Chang Kim Wai #China #BAM