SUKAN
Pemain warisan: Saya penat, saya muak - Cklamovski

CKLAMOVSKI: Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dibuat untuk membuktikan kesahihan pemain-pemain ini. - Foto Sinar Harian
PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski meluahkan rasa kecewa apabila isu berkaitan pemain warisan negara terus dipersoalkan segelintir pihak biarpun segala proses dokumentasi dan pengesahan telah pun dipenuhi.
Menurut Cklamovski, beliau dan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah berulang kali memberikan penjelasan berkaitan status tujuh pemain warisan, namun isu tersebut masih dimainkan khususnya selepas kemenangan bergaya ke atas Vietnam baru-baru ini.
“Secara jujur saya penat dan sudah muak. Ia seolah-olah tiada kesudahan walaupun sudah berminggu-minggu sejak kami menewaskan Vietnam. Fokus kami kini adalah kepada perlawanan akan datang, tetapi isu sama masih berulang,” katanya.
Beliau berkata, kesemua pemain terlibat telah disahkan oleh pihak kerajaan Malaysia dan turut mendapat kelulusan penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum aksi bertemu Vietnam dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 yang lalu."Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dibuat untuk membuktikan kesahihan pemain-pemain ini,” ujarnya.
Isu berkenaan hangat diperkatakan selepas tujuh pemain warisan iaitu Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero menjadi perhatian dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam sehingga mengundang reaksi sinis segelintir pihak.
Mengulas lanjut, Cklamovski turut mempertahankan komitmen tinggi barisan pemain tersebut yang sanggup berkorban demi menyarung jersi Malaysia.
“Machuca sanggup tinggalkan anaknya yang baru dua hari dilahirkan untuk menyertai kem negara. Holgado pula menempuh perjalanan beribu kilometer dan terpaksa segera pulang ke kelab selepas tamat perlawanan.
"Kalau ini bukan bukti kecintaan kepada Malaysia, saya tidak tahu apa lagi yang dimahukan. Lagipun, Indonesia sudah lama menggunakan pemain naturalisasi, dan Vietnam pun sedang ubah dasar mereka.
"Pemain-pemain ini bermain untuk Malaysia, tidak kira dari mana asal mereka dan mereka perlukan sokongan rakyat Malaysia," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami